StudioCanal mahu buat penggambaran filem di Malaysia

- Advertisement -

CANNES: Penerbit dan pengedar filem di Perancis, StudioCanal menyatakan minat menjadikan Malaysia sebagai destinasi penggambaran filem.

Pengarah Suraya Filem Production (M) Sdn Bhd, Shures R berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Produksi StudioCanal, Elsa Bonomi serta Ketua Jualan dan Pengedaran, Mathilde Mourey ketika sesi perbincangan dan makan tengah hari bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di sini, semalam.

Shures berkata, syarikat itu juga berminat dengan rebat tunai 30 peratus melalui Insentif Filem di Malaysia (FIMI) dan tambahan sehingga lima peratus melalui ujian budaya.

“Selama ini kita buat pengedaran, kita beli banyak kandungan dan sekarang kenapa tidak kita bawa produksi ke Malaysia.

“Kalau jalan cerita memerlukan latar belakang Malaysia kenapa tidak datang ke Malaysia daripada ke Thailand atau negara lain dan kita ada rebat yang lebih baik.

“Mereka (StudioCanal) memutuskan untuk membawa ketua pasukan produksi mereka ke Malaysia untuk meninjau semua tempat yang mereka ingin untuk projek akan datang.

“Perbualan antara StudioCanal dan Annuar seperti 99 peratus akan menjadi (kenyataan),” katanya pada majlis resepsi sesi perangkaian delegasi Malaysia sempena Marche Du Filme di sini, malam tadi.

Shures berkata, Suraya Filem Production dan StudioCanal bekerjasama selama 20 tahun dan usaha ini adalah peluang untuknya mempromosikan FIMI kepada syarikat itu yang tidak ditawarkan negara lain.

“Sebab itu kami mencadangkan kepada StudioCanal. Mereka juga sangat gembira dengan rebat dan Annuar yang mengalu-alukan mereka membuat penggambaran di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi penggambaran antarabangsa akan memberi pulangan baik kepada negara terutama dari segi ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan untuk bekerja dengan syarikat antarabangsa.

Tambah Shures, StudioCanal juga merancang mempromosikan FIMI kepada syarikat antarabangsa lain termasuk Lionsgate serta syarikat penerbitan dari Iran dan India.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, selain mempromosi dan menjual produk kandungan kreatif negara, tujuan utama Malaysia dalam pasaran filem itu adalah untuk menarik pelabur asing ke negara melalui FIMI.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula Selasa lalu. BERNAMA

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat