Bantuan RM200 Kepada Pesawah Selama 6 Bulan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan sebanyak RM200 untuk enam bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian.

Menurutnya, bantuan itu juga akan dibawa pada pembentangan dan kelulusan Belanjawan 2023 pada Oktober ini.

Katanya, bantuan itu juga akan dibawa pada pembentangan Belanjawan 2023 yang dijangka dibentangkan pada Oktober ini.

“Saya dah berbincang dengan Menteri Kewangan dan kita bersetuju untuk memberikan bantuan sementara padi dituai iaitu sebanyak RM200 untuk tiga bulan bagi dua musim. Jadi semua enam bulanlah.

“Kita adil pada semua, penoreh dapat, nelayan dapat, jadi pesawah juga dapat. Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak akan lupa jasa petani, nelayan dan juga pentenak,” katanya semasa Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-48 bagi tahun 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Dalam pada itu Ismail Sabri menggesa NAFAS dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melakukan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

“Suka saya menarik perhatian bahawa Malaysia pada ketika ini membelanjakan lebih RM50 bilion untuk mengimport bahan makanan.

“Selain itu sewaktu menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, saya mengisytiharkan 2014 sebagai tahun ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ kerana mereka inilah yang memerah keringat petani dan nelayan, dan memanipulasikan harga di pasaran.

“Jihad ini perlu diteruskan oleh NAFAS menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan Pusat Pembelian Padi, Pusat Pengumpulan Buah-Buahan, penambahan pasar tani serta pasar-pasar nelayan,” katanya

Sementara itu, pada majlis sama, Ismail Sabri turut menyaksi pengumuman dividen tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2021 iaitu sebanyak lapan peratus.

Dividen itu akan memberi manfaat kepada hampir 6,000 pelabur dari kalangan ahli Peladang dengan keseluruhan nilai agihan dividen berjumlah RM8.5 juta.