Muhyiddin Mohon Dibatalkan Empat Tuduhan Suapan RM232.5 Juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memfailkan notis usul untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi suapan berjumlah RM232.5 juta.

Notis tersebut difailkan pada 18 April lalu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Co di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 10 dan 13 Mac lalu, Muhyiddin didakwa atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dan Shah Alam atas pelbagai pertuduhan membabitkan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram wang berjumlah RM200 juta.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan, Muhyiddin atau nama sebenarnya, Mahiaddin Md. Yasin mendakwa bagi empat pertuduhan membabitkan penyalahgunaan kuasa, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Jelasnya, pihak pendakwaan mempunyai tanggung jawab mandatori untuk menyatakan secara spesifik cara kesalahan tersebut dilakukan bagi memastikan bahawa hak beliau sebagai tertuduh dilindungi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan bagi memastikan dirinya mendapat perbicaraan yang adil.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh dianggap sebagai sekutu atau organisasi kerana ia merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan, kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya merupakan satu penyalahgunaan proses dan telah melanggar Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah kerana gagal menyatakan secara spesifik bagaimana Muhyiddin telah menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Kegagalan pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam notis usul tersebut, dakwa Muhyiddin, telah menyebabkan beliau tidak dapat memberikan arahan yang betul bagi membolehkan satu pembelaan atau representasi yang wajar dibuat.

Ia sekali gus melanggar hak beliau di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Kegagalan responden juga telah menjejaskan haknya untuk hidup kerana pertuduhan tersebut telah memaksanya membayar yuran guaman, meminjam wang daripada keluarga dan rakan bagi membajar jamin RM2 juta dan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya bagi mengelakkan dirinya ditahan di penjara sehingga kes selesai.

Selain itu, pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya telah menyebabkan beliau sering berasa bimbang dan tertekan sekaligus menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa tingkah laku Responden dalam mengenakan pertuduhan-pertuduhan yang salah di sisi undang-undang tersebut telah mengaibkan nama baik dan reputasi saya.

“Pertuduhan-pertuduhan yang salah di sisi undang-undang tersebut telah membawa kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki terhadap saya,”kata Muhyiddin dalam afidavit sokongannya.

Sehubungan itu, Muhyiddin memohon agar Mahkamah mengetepikan, membatal atau menangguhkan secara kekal kesemua keempat-empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa tersebut demi mengelak kesalahan dilakukan terhadap pentadbiran keadilan. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat