Pemecatan Ahli: Kini Keadilan Menjadi “Parti Anwar” Sahaja

- Advertisement -

Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Baru-baru ini kita dimaklumkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) melalui Lembaga Disiplin parti itu, telah melakukan pemecatan dan penggantungan keahlian besar-besaran.

Jelas ini merupakan langkah “pembersihan” bagi membuang ahli parti yang dilihat tidak sealiran dengan Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokong beliau yang masih memegang jawatan di dalam pucuk pimpinan parti.

Namun begitu, para penganalisa politik tempatan menyifatkan, langkah yang diambil oleh Keadilan pada ketika ini sudahpun terlewat dan kegagalan ini sememangnya berpunca daripada kelemahan presiden parti tersebut.

Jika dinilai semula, sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai banyak peluang untuk menyatukan semula Keadilan, tetapi enggan berbuat demikian atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Beliau dilihat lebih fokus untuk menekan Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya dan tidak langsung berminat untuk bertemu dan berbincang dengan kempimpinan PKR tentang kepincangan yang berlaku di dalam partinya sendiri.

Akibatnya, keretakan hubungan sesama pimpinan dan ahli di dalam parti reformasi itu semakin terserlah sehingga menyebabkan beberapa pemimpin utama mengistihar keluar parti. Perkara ini menjadi rantaian peristiwa yang seterusnya menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan terbitnya kerajaan usahasama muafakat yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Kita tidak menafikan peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam pembentukkan Parti Keadilan Rakyat (yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) dan juga jasa-jasa beliau dalam membangkitkan isu-isu yang memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat sebelum ini.

Namun begitu, sebagai seorang tokoh yang kononnya menjunjung iltizam demokrasi, seharusnya beliau tidak melihat parti ini sebagai parti yang memperjuangkan dirinya sahaja.

Memang benar, sosok Anwar Ibrahim itu dilihat sebagai ikon perlawanan, kata-kata beliau suatu ketika dahulu menjadi pembakar semangat rakyat untuk berani berubah. Malah tiada siapa boleh menafikan peranan beliau dalam PRU-14 yang lepas, terutamanya apabila beliau merestui Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk menerajui Pakatan Harapan, sehingga gabungan parti politik itu berjaya memegang tampuk pemerintahan negara.

Di dalam perutusan Sambutan Ulang Tahun Parti Keadilan Rakyat yang ke-21, presiden parti tersebut dilihat merajuk dan menyatakan tuduhan-tuduhan tertentu kepada para mantan pemimpin parti yang telah memilih untuk tidak lagi bersama beliau. Dengan menggunakan perkataan seperti “si kitol” dan “pengkhianat”, rajuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat seperti keanak-anakan dan tidak wajar untuk ditonjolkan oleh seorang “Bakal Perdana Menteri”.

Sudah pasti gelaran-gelaran ini ditujukan kepada mantan pemimpin utama parti yang telah mengkritik beliau sebelum ini, terutamanya Timbalan Presiden Keadilan Datuk Seri Azmin Ali dan juga Naib Presiden Keadilan Puan Hajah Zuraida Kamaruddin.

Kedua-dua pemimpin yang dilihat cukup setia kepada parti sebelum ini, digelar sebagai pengkhianat hanya kerana tidak bersetuju dengan tindakan pilih kasih yang terang-terangan ditunjukkan oleh Presiden parti tersebut.

Namun begitu, jika kita membuka semula lipatan sejarah, terbukti kedua-duanya cukup konsisten dalam memperjuangkan Parti Keadilan Rakyat. Parti ini seharusnya menjadi wadah perjuangan seluruh rakyat dan bukannya hak individu atau kumpulan tertentu sahaja. Perkara ini sering diperkatakan oleh Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, yang mana beliau sentiasa konsisten dalam menyatakan dasar perjuangan parti tersebut.

Pandangan Ahli Parlimen Ampang itu adalah bertepatan dengan agenda reformasi yang dilaungkan, kerana Keadilan tidak tertegak untuk membela seorang insan sahaja, tetapi perjuangan parti ini yang dipenuhi dengan ranjau, onak dan duri adalah untuk membela nasib semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Mungkin Presiden Keadilan tidak dapat menerima pandangan progresif ini dan hanya mahukan konsep pemerintahan feudal kuno di dalam partinya. Arahan dari atas, dilaksanakan oleh mereka yang berada di bawah, jika berbeza pandangan terus digelar “kitol” dan “pengkhianat”. Jika ini hasilnya perjuangan selama 21 tahun, maka Parti Keadilan Rakyat bukanlah pejuang demokrasi yang dicanang-canangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam ratusan ceramah beliau.

Para ahli dan penyokong Keadilan yang masih lagi bersama dengan parti tersebut perlu bermuhasabah dan memikirkan semula natijah sokongan mereka terhadap Parti Keadilan Rakyat. Apakah parti itu kini benar-benar ikhlas untuk menjunjung reformasi, atau hanya ditubuhkan untuk agenda peribadi tertentu sahaja?

Apa yang jelas kini adalah, Parti Keadilan Rakyat sedang mengambil langkah kebelakang apabila Lembaga Disiplin parti itu melakukan “pembersihan” atau “purge” secara tidak adil, terhadap pemimpin dan ahli-ahli yang dikatakan tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan parti.

Dengan penggantungan keahlian dan jawatan Naib Presiden Keadilan Saudara Tian Chua dan Ketua Wanita Keadilan Puan Hajah Haniza Talha, parti tersebut dilihat sedang berada dalam mod memusnahkan diri sendiri (self-destruct mode), hanya kerana ingin menjadikan Parti Keadilan Rakyat, sebagai “Parti Anwar” semula.

Dengan langkah yang dangkal ini, penulis percaya, lama kelamaan, Parti “Anwar” ini hanya akan menjadi kenangan akibat terlalu fokus dan taksub kepada seorang pemimpin sahaja. Laungan reformasi dan retorik pembaharuan yang dibawa oleh parti ini turut akan dilupakan oleh rakyat, yang pada ketika ini lebih memerlukan kepimpinan yang lebih stabil bagi menghadapi cabaran dan rintangan masa hadapan.

Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff merupakan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat