Sidang Dewan Rakyat Penuh ‘Aksi’ Labuh Tirai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 melabuhkan tirainya semalam, dengan minggu terakhir menyaksikan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan Dewan Rakyat, meskipun berdepan pelbagai halangan.

Belanjawan terbesar dalam sejarah negara membabitkan peruntukan mencecah RM322.5 bilion itu, dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov lalu, sebelum dibahaskan 82 Ahli Parlimen di peringkat dasar selama dua minggu.

Ketika sesi perbahasan itu, beberapa tuntutan dibuat blok penyokong kerajaan dan pembangkang sebagai syarat belanjawan itu disokong dan diluluskan, khususnya mengenai pengeluaran ‘one-off’ Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium pinjaman, bagi membantu rakyat terkesan dengan pandemik COVID-19.

Mendengar cadangan-cadangan dilontarkan Ahli Parlimen Tengku Zafrul pada sesi penggulungan kementerian itu mengumumkan, beberapa berita baik antaranya program i-Sinar yang membenarkan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP dibuka kepada semua lapan juta pencarum.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu kemudian diluluskan di peringkat dasar dengan suara majoriti, selepas permohonan beberapa Ahli Parlimen pembangkang untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Di peringkat jawatankuasa, sembilan daripada 27 kementerian melalui proses undi belah bahagian sebelum diluluskan.

Pada peringkat jawatankuasa itu juga, kerajaan turut mengusulkan pengurangan peruntukan bagi perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), berjumlah RM45 juta daripada RM81.5 juta seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021. Kerajaan telah menjenamakan semula Jasa sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Dengan keabsahan kerajaan PN terus dipersoalkan, setiap undi dilihat penting sekali gus menyaksikan tiga Ahli Parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), hadir ke sidang dewan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Belanjawan 2021 akhirnya diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Persidangan turut meluluskan sembilan rang undang-undang lain iaitu Kewangan 2020; Kastam (Pindaan) 2020; Eksais (Pindaan) 2020; Zon Bebas (Pindaan) 2020; Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020; Cukai Jualan (Pindaan) 2020; Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020; Cukai Pelancongan (PIndaan) 2020 dan Koperasi (Pindaan) 2020.

Dalam pada itu, persidangan dewan kali ini berlangsung dalam normal baharu apabila hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas dibenar menghadiri persidangan, namun kesemua Ahli Parlimen boleh memasuki dewan ketika sesi pengundian.

Masa persidangan harian juga dihadkan berbanding kebiasaannya yang berakhir pada 5.30 petang, selain Ahli Parlimen dan petugas diarah menjalani ujian COVID-19 setiap dua minggu sekali, sebagai langkah berjaga-jaga ekoran penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, seperti kebiasaan sidang dewan tidak terlepas dengan insiden kekecohan yang menyaksikan RSN Rayer (PH-Jelutong) diarah keluar dewan, manakala Lim Lip Eng (PH-Kepong) digantung lima hari selepas tidak mengendahkan arahan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ini susulan kenyataan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengenai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ‘takut mati’, kerana tidak turun padang meninjau situasi COVID-19 di Sabah yang mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat