Dominasi The Bridge 2

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mendominasi 23 kategori menerusi tiga anugerah antarabangsa bukan satu khayalan, sebaliknya satu kenyataan. Drama The Bridge musim kedua meletakkan karya Malaysia mampu berentap dengan dengan naskhah antarabangsa lain di seluruh Asia.

Syarikat produksi Malaysia, Double Vision mendominasi kategori awal dengan 10 kemenangan menerusi dua drama, The Bridge musim kedua dan sitkom reboot, Kopitiam: Double Shot menerusi Asian Academy Creative Awards (AACA) 2020.

Pengumuman dilakukan menerusi siaran langsung Facebook (FB) rasmi anugerah berkenaan yang menyaksikan penganjur mengumumkan wakil setiap negara yang menang pada pertengahan Oktober lalu.

Kemenangan itu melayakkan syarikat produksi yang mewakili Malaysia berentap ke peringkat seterusnya pada acara kemuncak AACA 2020 pada 4 dan 5 Disember depan dengan menyaksikan persaingan 15 negara Asia.

Ketua Jabatan dan Penerbit Eksekutif, Double Vision, Min Lim berkata, lapan pencalonan menerusi drama The Bridge 2 secara tak langsung membuatkan perbelanjaan besar dan kerja keras yang diberikan dalam menjayakan naskhah itu berbaloi.

“Tidak dinafikan, drama bersiri ini melalui pelbagai cabaran, di mana musim pertamanya mengambil dua tahun untuk ditayangkan. Kami berterima kasih kepada Viu dan HBO sudi menayangkan, sekali gus menjadikan ia sebagai siri pertama Malaysia yang ditayangkan di HBO.

“Itu bermaknanya drama The Bridge 2 ditonton di 30 negara apabila ditayangkan di dua saluran berkenaan. Ia sudah cukup membuatkan kami berbangga, ditambah pula dengan berita baik menerusi kemenangan awal menerusi AACA 2020. Double Vision amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini.

“Mungkin jika mahu dibandingkan dengan naskhah negara Asia lain, drama The Bridge 2 tidak besar, tetapi diberi penghargaan mewakili Malaysia dikira memadai dan berbaloi bagi kami,” katanya kepada BH Online.

 

Ketua Jabatan dan Penerbit Eksekutif, Double Vision, Min Lim.
Ketua Jabatan dan Penerbit Eksekutif, Double Vision, Min Lim.

 

Lapan kategori yang dicalonkan menerusi AACA 2020 adalah Drama Terbaik, Adaptasi Drama Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Bront Palarae), Pelakon Wanita Terbaik (Rebecca Lim), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Miller Khan) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Aida Aris).

Adaptasi daripada siri asal Endemol Shine dengan suntikan elemen tempatan, drama penuh mendebarkan itu diarahkan tiga sutradara, TJ Lee, Jason Chom dan Zahir Omar.

Siri itu menampilkan barisan pelakon kerjasama dari Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti Bront, Ario Bayu dan Rebecca.

Tidak hanya itu, Min berkata The Bridge 2 turut disenaraikan menerusi 11 kategori di Asian Television Awards dan empat kategori di Content Asia Awards.

“Keseluruhannya, The Bridge 2 berjaya memperoleh 23 nominasi menerusi tiga anugerah di peringkat kebangsaan. Ini semua adalah suatu pencapaian luar biasa. Ia juga seperti satu penghargaan buat kami selepas bekerja keras untuk menjayakan naskhah ini,” katanya.

Salah seorang pengarah, Jason berkata, tidak mudah untuk merealisasikan naskhah yang menggabungkan tenaga kerja dari empat negara, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina itu.

“Daripada peringkat produksi lagi naskhah ini agak sukar untuk dijayakan. Selalunya, apabila merasakan kesukaran untuk menghasilkan sesuatu naskhah pasti mendapat pulangan besar. Ini dibuktikan dengan The Bridge 2. Kami nampak hasil yang baik sekarang.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang sangat baik daripada satu pasukan. Dari syarikat Double Vision yang cekap hinggalah pelakon dan kru yang berkualiti. Tanpa kerjasama satu pasukan yang baik, saya tidak rasa akan mendapat hasil sebaik ini.

“Jadi, kejayaan ini layak diberi pujian kepada pasukan yang bersungguh-sungguh menjayakan projek yang mencabar ini,” katanya.

Dengan pencapaian itu, Jason berharap ia membuka peluang lebih besar untuk Double Vision merealisasikan musim ketiga kisah adaptasi daripada siri asal Endemol Shine itu.

 

Pelakon berpengalaman, Aida Aris kali pertama dicalonkan menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, AACA 2020 selepas 26 tahun berjuang dalam dunia seni.
Pelakon berpengalaman, Aida Aris kali pertama dicalonkan menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, AACA 2020 selepas 26 tahun berjuang dalam dunia seni.

 

Sementara itu, Aida yang dicalonkan menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menyifatkan pencalonannya sebagai satu penghargaan buatnya yang sudah 26 tahun bergelar anak seni.

“Apa yang dinantikan selama ini menampakkan hasil apabila buat kali pertama namanya disenaraikan mewakili Malaysia bertanding dalam AACA 2020.

“Ini adalah hasil keikhlasan, kejujuran dan kesabarannya selama ini. Saya langsung tak menjangka nama dicalonkan, tetapi inilah rezeki. Dapat juga saya mewakili Malaysia.

“Sebelum ini, saya hanya pernah disenaraikan dalam top 5 anugerah tempatan seperti Anugerah Skrin, tetapi tiada rezeki menang. Tentunya saya menyimpan harapan mampu mengharumkan nama Malaysia apabila menembusi pencalonan AACA 2020.

“Lihat karya negara Asia seperti Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan India mampu menembusi pasaran antarabangsa. Sekiranya drama The Bridge 2 menang, ia boleh membuka mata orang luar untuk menonton karya dari Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Aida berkata, dia tidak menafikan menjayakan watak sebagai Datin Roslinda dalam drama bersiri terbitan Double Vision itu mempunyai cabaran tersendiri.

“Melihat genre drama ini pun sudah agak agak bukan mudah untuk dijayakan. Saya perlu banyak bermain dengan emosi memandangkan watak Datin Roslinda adalah pesakit kanser, isteri kepada Wan Hanafi Su.

“Bagaimanapun, saya bersyukur mendapat pasukan kerja yang memberikan kerjasama dan merealisasikan setiap babak dengan baik. Disebabkan itu, saya percaya kejayaan satu naskhah itu adalah daripada kerja berpasukan,” katanya yang teruja dapat bekerjasama dengan pelakon dari Indonesia dan Singapura.

AACA adalah anugerah tahunan di Singapura yang diketuai Singapore Media Festival dan dianjurkan Media Development Authority (IMDA) of Singapore.

Acara kemuncak AACA 2020 dijadualkan berlangsung 4 dan 5 Disember ini. Bagaimanapun, AACA 2020 belum dipastikan sama ada dilangsungkan secara dalam talian atau seperti kelazimannya di Singapura berikutan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, The Bridge musim pertama pernah dicalonkan menerusi dua kategori, Adaptasi Drama Terbaik dan Drama Terbaik pada AACA pada 2019. Bagaimanapun, tewas dengan naskhah dari Korea dan India.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat