Rafizi, Farhash dan Bumiputera Sabah

- Advertisement -

E-mel Pembaca

Janji Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk membentangkan Rancangan Bumiputera 10 Tahun yang “baru dan inklusif” Oktober nanti mungkin sudah menampakkan sinar.

Minggu lalu bekas pembantu politik Anwar, Farhash Wafa muncul sebagai pemegang saham penting dalam syarikat berkaitan politik, Heitech Padu Berhad. Farhash mengambil alih 15.9% saham syarikat tersebut dengan anggaran nilai RM31.25 juta.

Jika diteliti berita-berita ekonomi melibatkan bumiputera, kita tidak akan dapat memendam rasa teruja mengenai kemunculan muka-muka baharu dalam kalangan masyarakat bumiputera. Mereka muncul secara tiba-tiba menguasai saham syarikat-syarikat tertentu. Ada pula yang diangkat menjadi pengerusi syarikat-syarikat gergasi milik usahawan bukan bumiputera.

Namun adakah negara sedang melalui perubahan dasar yang transformatif untuk Bumiputera seperti mana yang dicanangkan oleh Rafizi?

Dari perspektif usahawan bumiputera di Sabah, sementara usahawan Bumiputera yang berkaitan politik terus menikmati kekayaan negara di bawah Kerajaan Madani, negeri miskin Sabah terus terperangkap dalam jaringan rasuah, kronisme, dan nepotisme.

Kebergantungan negeri yang agak tinggi terhadap sektor pelancongan, minyak dan gas menimbulkan keraguan terhadap prospek pembangunan mampan. Kemerosotan sektor pelancongan akibat faktor luar seperti pandemik atau keselamatan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri.

Dalam sektor minyak dan gas, walaupun Sabah kini menikmati lebih banyak keuntungan, namun cakap-cakap mengenai penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan dana awam menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan sumber kewangan negeri ini.

November lepas portal SuaraTV melaporkan mengenai risiko sebuah syarikat milik kerajaan negeri, Sabah Maju Jaya Sdn Bhd akan mengulangi sejarah 1Malaysia Development Berhad.

Seminggu kemudian The Vibes turut memetik Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin membangkitkan hal yang sama.

Pada hemat kami di Sabah, keadaan industri minyak dan gas negeri akan menjadi lebih buruk pada masa hadapan.  Walaupun Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun menekankan kepentingan kepentingan dan penyertaan peniaga Bumiputera Sabah, namun pelantikan Datuk Seri Panglima Lim Haw Kuang sebagai penasihat teknikal syarikat minyak dan gas milik Sabah, SMJ Energy menambah rasa kecurigaan para usahawan bumiputera.

Kerjaya panjang beliau dan Shell China dan kekerapan beliau mengunjungi negara China juga menimbulkan lebih banyak persoalan. Penyertaan Bumiputera tempatan akan menjadi terhad dengan kemasukan penyedia perkhidmatan hiliran minyak dan gas dari China dan Taiwan yang mempunyai hubungan mesra dengan beliau.

Gosip kebimbangan terdapat jarum-jarum halus membawa vendor – vendor China yang menyamar sebagai syarikat tempatan Sabah telah mula berlegar-legar dalam kalangan usahawan dan ahli politik di negeri di bawah bayu itu.

Pemerhati politik dan analis industri mungkin terlalu cepat memberi pujian terhadap usaha awal oleh SMJ Energy dalam menggerakkan aktiviti minyak dan gas di Sabah.

Isu terbesar ialah kejayaan mengumpulkan sukuk bernilai berbilion ringgit belum tentu akan mencipta  peluang pekerjaan dan perniagaan di Sabah; atau merangsang pelbagai sektor ekonomi kepada penduduk tempatan Sabah.

Malah wujud kebimbangan Sukuk terbabit akan mengulangi Sukuk 1MDB.

Sabah memerlukan wacana yang mana semua warganya, terutamanya komuniti Bumiputera yang terpinggir, dapat berkembang. Ini hanya boleh dijayakan jika ada usaha menangani punca-punca akar rasuah dan kronisme; membentuk landasan pembangunan yang mampan yang dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.

Kejayaan Bumiputera di Sabah bergantung kepada penyelesaian isu-isu endemik negeri ini secara langsung, penciptaan projek bernilai tinggi, merangsang projek pelancongan dengan kesan pelbagai ekonomi yang tinggi, dan mengurangkan pendapatan minyak dan gas.

Ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus yang baik harus menjadi asas kepada sebarang usaha reformasi yang bermakna.

Malangnya, ini hanya fatarmogana untuk rakyat yang dijual oleh ahli politik.

Sebagai contoh, Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dilihat tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada agenda Bumiputera dengan dasar sedia ada. Malah ia juga gagal menarik pelaburan langsung asing ke Sabah.

Ketiadaan ketelusan dalam pelantikan usahawan tempatan Sabah oleh SMJ Energy dan syarikat lain berkaitan kerajaan negeri Sabah (State Government Link Company –  SGLC) menunjukkan jalan memperkasa usahawan bumiputera Sabah masih jauh.

Perjalanan Sabah ke arah pembangunan inklusif dan mampan memerlukan inisiatif berani dari SGLC, yang di bawah pengawasan Masidi Manjun, dengan memberi keutamaan kepada kepentingan komuniti terpinggirnya, terutamanya mereka, yang menjadi pendorong utama perubahan di Sabah.

Namun mengharapkan Sabah bertindak sendirian tampak seperti mustahil. Berdekad-dekad lamanya pemimpin politik Sabah menunding jari kepada Persekutuan atas kemiskinan.

Realitinya, majoriti pemimpin politik Sabah menjadi hartawan terbilang. Taikun-taikun bukan bumiputera sudah lama meraih hasil balak negeri yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Kini kami menunggu aspirasi rancangan Rafizi yang boleh diubah menjadi manfaat yang nyata bagi semua penduduk Sabah demi depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

Namun apakah rancangan Bumiputera 10 tahun Rafizi dan jawapan beliau baru-baru ini di Parlimen untuk membantu golongan miskin tegar di Sabah adalah sekadar pujuk rayu untuk memenangi undi simpati dari akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri?

Melihat kepada kehidupan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar, Farhash, dan ahli PKR lain yang menjadi jutawan dalam sekelip mata, Malaysia tidaklah menjadi lebih baik.

Tanpa menangani isu-isu sistematik yang mengganggu landskap sosio-politik Sabah, rancangan ini berisiko gagal sebelum dapat menghasilkan hasil yang diinginkan.

Muhammad Fakrul
Putatan, Sabah

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat