Google Malaysia mohon maaf silap kadar pertukaran AS$1 = RM4.98

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Google Malaysia memohon maaf di atas kesilapan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit yang diterbitkan di laman kewangannya.

“Kami segera menghubungi pihak ketiga yang memberikan maklumat kadar pertukaran dolar AS-ringgit untuk membetulkan kesilapan itu.

“Isu itu kini telah diselesaikan dan kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang ditimbulkan,” tulis Google Malaysia di laman X.

Google berkata, ia menyediakan kadar pertukaran mata wang untuk tujuan maklumat sahaja.

“Sila rujuk sumber rasmi seperti laman web Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat sebarang keputusan kewangan,” katanya di laman blog mikro itu.

Google menerbitkan kadar pertukaran yang tidak tepat pada 15 Mac 2024.

Ia adalah insiden kedua di mana Google menerbitkan data kadar pertukaran dolar AS-ringgit yang tidak tepat pada 2024.

Insiden pertama berlaku pada 6 Februari lalu.

Dua hari lalu, BNM dengan tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang sedang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran dolar AS-ringgit yang salah diterbitkan oleh Google pada 15 Mac 2024.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata maklumat berkenaan tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.

BNM menjelaskan pada Jumaat 15 Mac 2024, kadar pertukaran dolar AS-ringgit berada pada 4.7015 pada jam 9 pagi, dan 4.7045 pada jam 5 petang dengan kadar dagangan tengah hari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman web BNM.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan meminta penjelasan daripada pihak Google berhubung data tidak tepat kadar pertukaran ringgit berbanding AS$1 mencecah RM4.98 yang diterbitkan enjin carian itu memandangkan kesilapan seperti itu bukan kali pertama berlaku.

Katanya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour sudah menghubungi pihak Google mengenai perkara itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat