KUALA LUMPUR – PAS menuntut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggubal peruntukan undang-undang dalam Akta Perihal Dagangan 2011 dengan memperketatkan peruntukan berkaitan penjualan barangan melibatkan sensitiviti agama Islam di negara ini.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Khairil Nizam Khirudin menyeru kerajaan melalui KPDN dan Jakim bertindak lebih tegas terhadap isu penghinaan kalimah Allah yang berlaku dalam penjualan stokin oleh Pasaraya KK Supermart.
“Ini adalah kerana Kalimah Allah merupakan lafaz tertinggi bagi umat Islam dan penjualan produk seperti ini amat menggores hati umat Islam.
“Tindakan penghinaan ini jelas mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini, lebih-lebih lagi ia berlaku di dalam bulan Ramadan yang mulia,” tegas beliau dalam kenyataan pada Isnin.
Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, kedua-dua pihak yang bertanggungjawab iaitu KK Mart Group serta pengilang Xin Jian Chang mesti diambil tindakan yang lebih tegas, supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak berkenaan perkara yang menyentuh sensitiviti agama Islam di negara ini biarpun telah membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Kita tidak mahu ia menjadi “trend” berterusan di negara ini, apabila kesucian agama Islam dipermainkan lantas disusuli hanya dengan permohonan maaf – namun kemudian berlaku lagi kes yang lain seolah-olah tiada tindakan tegas boleh diambil kepada pihak yang terlibat.
“PAS memberi amaran bahawa isu melibatkan penghinaan kalimah Allah adalah sangat sensitif dan menyeru semua pihak jangan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini,” ujarnya.