Artis gred A ‘naik tocang’ selepas pandemik?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sikap artis gred A naik tocang, sukar bertolak ansur, malah meletakkan harga tidak masuk akal menyebabkan golongan penerbit semakin tersepit.

Dalam situasi industri kreatif baru pulih selepas hampir dua tahun lumpuh, ada sesetengah artis gred A bagaikan ‘lupa diri’ apabila beroleh banyak projek kerja.

Ada sesetengah pelakon bersikap ‘demand’ keterlaluan, minta bayaran belasan ribu, malah apabila tidak suka dengan harga ditawarkan, pelakon terbabit terus letak telefon tanpa boleh berbincang lagi.

Tidak tahan sikap keterlaluan pemain industri, pengarah dan penerbit terkenal, Rashid Sibir bersuara dalam laman Facebook, baru-baru ini.

Bagi pengarah drama Tanah Kubur itu berkata, dia bukan sengaja mahu menimbulkan polemik, sebaliknya perlu bersuara agar sikap artis yang mementingkan diri tidak terus berleluasa.

“Industri kreatif baru sahaja bernafas selepas dua tahun terjejas, jadi tidak bolehkah bersikap bertolak ansur dengan memikirkan nasib produser, pelakon dan kru lain.

“Bayangkan, penerbit masih menerima bayaran sama daripada stesen televisyen (TV) sejak 20 tahun lalu.

“Rata-rata stesen TV membayar RM100,000 kepada produser untuk sebuah telefilem. Bayangkan, jika dua pelakon utama minta bayaran RM15,000 untuk kerja selama tujuh hari, jadi apa yang tinggal kepada produser?,” katanya kepada BH Online.

Rashid berkata, dia tidak akan mempertikaikan artis letak harga jika penerbit dibayar RM200,000 hingga RM300,000 untuk satu telefilem.

“Penerbit tiada masalah untuk membayar artis mengikut harga diminta, namun dalam keadaan sekarang bukanlah masa yang sesuai kerana semua orang sedang berjuang untuk hidup.

“Bagi saya, tidak adil bersikap mementingkan diri sendiri kerana kita bekerja umpama satu keluarga. Mereka bukan tidak tahu keadaan industri kreatif yang nyawa-nyawa ikan. Jadi, jangan sesuka hati letak harga tinggi.

“Lagipun, mereka bukan pelakon yang menang banyak anugerah. Apa salahnya fikirkan nasib pelakon dan kru produksi yang bekerja lebih teruk.

“Lebih menyedihkan, pengarah menerima upah lebih rendah berbanding pelakon,” kata Rashid.

Rashid berkata, sesetengah pelakon berani meletakkan harga tinggi kerana beranggapan menjadi ‘anak emas’ kepada stesen TV.

Pada waktu sama, katanya, kesanggupan sesetengah penerbit memberikan bayaran lumayan kepada pelakon menjadi faktor mereka lupa diri.

“Saya tidak menafikan, sikap sesetengah penerbit tidak bersatu menyebabkan isu artis letak bayaran tinggi masih belum berjaya diselesaikan sehingga hari ini.

“Dalam dunia penerbitan, terdapat dua jenis penerbit. Pertama, ikhlas mencari makan, manakala satu lagi jenis penerbit yang memang banyak duit.

“Penerbit banyak duit tidak memikirkan soal keuntungan kerana sudah kaya-raya. Mereka hanya ingin melihat nama terpampang di kaca TV sebagai penerbit.

“Sebab itulah, mereka mampu membayar pelakon pada harga tinggi agar stesen TV membeli naskhah. Dalam masa sama, ia dapat menjamin terus bekerjasama dengan adanya hubungan baik,” katanya.

 

Rashid bersama pelakon yang pernah bekerjasama dengannya, Mira Filzah dan Rozita Che Wan menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan. - Foto IG Rashid Sibir
Rashid bersama pelakon yang pernah bekerjasama dengannya, Mira Filzah dan Rozita Che Wan menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan. – Foto IG Rashid Sibir

 

Jadi, katanya, apabila ada produser yang sanggup berhabis untuk pelakon, itu menyebabkan pelakon ‘naik tocang’ letak harga tinggi kerana menyangkakan semua produser berduit.

“Ada sesetengah produser tidak sanggup bayar harga tinggi, jadi pelakon menolak tawaran bulat-bulat tanpa memberi peluang kepada penerbit berbincang. Penghujungnya, penerbit hanya mampu makan dedak,” kata Rashid.

Berisiko gulung tikar, Rashid menggesa Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) bertindak bagi membela nasib golongan penerbit.

Selain itu, katanya, penerbit harus bersatu hati untuk memperjuangkan nasib mereka.

Bagaimanapun, katanya, stesen TV seharusnya ada budi bicara untuk menaikkan harga.

“Mungkin disebabkan sikap penerbit yang terus berdiam diri menyebabkan stesen TV tidak mempedulikan situasi dihadapi penerbit.

“RTM ada menaikkan harga sebanyak RM125,000 untuk satu karya tetapi, jumlah ini masih belum mencukupi. Dalam keadaan kenaikan sekarang, seharusnya bayaran diberikan membabitkan RM200,000 untuk satu karya agar dapat menerbitkan telefilem berkualiti.

“Untuk drama episod, stesen TV membayar sebanyak RM45,000 satu episod, sedangkan kos menerbitkan satu episod mencecah RM40,000,” katanya.

Rashid berkata, jumlah keseluruhan dibayar untuk menerbitkan drama 13 episod mencecah lebih RM500,000, dengan kos bayaran pelakon utama sahaja sudah mencecah RM100,000.

“Jadi, bayangkan apa yang tinggal untuk produser? Saya tidak salahkan stesen TV memilih pelakon gred A kerana mereka ingin menjual produk, tetapi perlulah mengambil kira nasib penerbit.

“Kita bukan mahu untung puluhan ribu, namun biarlah berbaloi kerana kami juga menjalankan perniagaan.

“Stesen TV mengeluarkan modal RM100,000 membayar penerbit untuk satu telefilem, tetapi meraih keuntungan jutaan ringgit menerusi iklan.

“Saya berharap stesen TV dapat mempertimbangkan kenaikan harga kerana harga sama digunakan sejak 2001 lagi,” katanya.

Beliau berkata, dia bukanlah mahu berbalah, cuma berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam keadaan aman.

“Kalau boleh saya mahu semua orang dapat menikmati ‘kek’ yang sama. Bukan pelakon sahaja yang patut menikmatinya, tetapi kasihan juga pada kru yang menjadi tulang belakang produksi dan bekerja kuat, tetapi bayaran yang diterima tidak setimpal,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat