Bursa Malaysia Ditutup Rendah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegiatan pengambilan untung membabitkan kaunter berwajaran tinggi di sektor perkhidmatan kewangan menyaksikan Bursa Malaysia mengakhiri peningkatan kukuhnya yang diraih sejak dua hari lalu.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 7.06 mata lebih rendah pada 1,674.35 berbanding 1,681.41 ketika ditutup petang Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi sebanyak 2.86 mata pagi ini kepada 1,684.27 dan bergerak antara 1,669.69 dan 1,684.30 sepanjang sesi urus niaga hari ini.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 790 berbalas 445 manakala 454 kaunter tidak berubah, 454 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 9.24 bilion saham bernilai RM4.33 bilion daripada 11.22 bilion saham bernilai RM5.21 bilion sebelumnya.

Sementara itu, bursa serantau Asia yang lain diniagakan bercampur-campur di celah-celah penurunan saham semalaman di Amerika Syarikat (AS) meskipun Dow agak positif ketika berita ini ditulis.

Pelabur Wall Street dikatakan memberi tindak balas positif kepada berita menyatakan penggubal undang-undang AS telah hampir mencapai kesepakatan dalam urusan bantuan COVID-19, di samping petunjuk Rizab Persekutuan AS cenderung ke arah mengekalkan kadar faedah menghampiri sifar, sekurang-kurangnya sehingga 2023.

Di bursa serantau, Bursa Saham Shanghai China meningkat 1.13 peratus kepada 3,404.87, Indeks Straits Times Singapura turun 0.49 peratus kepada 2,858.59, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.18 peratus kepada 26,806.67, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.82 peratus kepada 26,678.38 dan Kospi Korea Selatan susut 0.05 peratus kepada 2,770.43.

Di pasaran tempatan, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata bursa dibuka tinggi untuk seketika sebelum menyusut berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung ke atas saham berwajaran tinggi, didahului oleh kaunter teratas FBM KLCI dan sektor perkhidmatan kewangan.

“Kemunculan semula kebimbangan terhadap penularan COVID-19 menjejaskan sentimen di pasaran selepas Korea Selatan mencatatkan rekod baharu jumlah kematian pada Khamis,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau berkata, dalam kalangan 30 kaunter FBM KLCI, Telekom menyaksikan penyusutan ketara sebanyak 2.55 peratus untuk seharian manakala Kuala Lumpur Kepong mendahului kaunter untung dengan melonjak 3.33 peratus.

Berdasarkan sektor, beliau berkata, Indeks Kewangan mencatatkan kejatuhan terbesar dengan 1.40 peratus kerana aktiviti pengambilan untung sebelum musim cuti perayaan sementara sementara Indeks Perladangan yang paling untung, meningkat 0.89 peratus, didorong oleh harga minyak sawit mentah yang kukuh.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank turun 38 sen kepada RM21.50, Petronas Chemicals susut empat sen kepada RM7.56 dan Top Glove jatuh tujuh sen kepada RM6.70.

Maybank naik tiga sen kepada RM8.70 sementara Tenaga tidak berubah pada RM10.80.

Saham paling cergas pula, waran Seacera naik setengah sen kepada satu sen, Sino Hua-An turun setengah sen kepada 18.5 sen, sementara waran Focus Dynamic, Sapura Energy dan Bumi Armada, masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen, 13 sen dan 38.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 69.28 mata kepada 12,031.71, Indeks FBMT 100 merosot 69.30 mata kepada 11,794.20, FBM 70 lebih rendah sebanyak 166.97 mata kepada 15,367.84, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 15.18 mata kepada 13,418.28, sementara FBM ACE memperoleh 17.0 mata kepada 10,603.26.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.07 mata kepada 175.74, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 223.69 mata kepada 15,726.21, tetapi Indeks Perladangan naik 65.61 mata kepada 7,429.38.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 5.95 bilion saham bernilai RM3.59 bilion daripada 7.84 bilion saham bernilai RM4.40 bilion pada Rabu.

Perolehan waran berkurangan kepada 700.92 juta unit bernilai RM118.83 juta daripada 912.82 juta unit bernilai RM155.06 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.59 bilion saham bernilai RM622.36 juta daripada 2.47 bilion saham bernilai RM655.57 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 639.57 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.45 bilion), pembinaan (672.21 juta), teknologi (303.68 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (94.77 juta), hartanah ( 756.08 juta), perladangan (64.78 juta), REIT (14.87 juta), dana tertutup (24,200), tenaga (1.63 bilion), penjagaan kesihatan (65.90 juta), telekomunikasi dan media (93.71 juta), pengangkutan dan logistik (73.64 juta), dan utiliti (86.0 juta).

– Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat