Penduduk Sg. Buloh Mahu MP Yang Membela Rakyat, Tak Penting Diri Sendiri

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Berbaki tiga hari lagi, Malaysia akan menyaksikan gabungan parti mana yang akan menjadi kerajaan seterusnya menerajui negara.

Bagi penduduk Sungai Buloh, meskipun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi Parlimen itu dengan majoriti 26,634 undi, namun dengan kehadiran calon BN Khairy Jamaluddin, ia ternyata memberi ‘tamparan’ buat gabungan berkenaan.

Ketika Khairy atau mesra disapa KJ diumumkan bertanding di Sungai Buloh, ia sekaligus menjadikan kawasan itu sebagai kerusi panas berikutan percaturan berani bekas menteri kesihatan berkenaan.

Kerusi Parlimen P.107 menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon BN, R. Ramanan (PH), Ahmad Juflix (Parti Rakyat Malaysia), Akmal Yusoff (Pejuang), Mohd Ghazali Md Hamin (PN) dan Syed Razak Alsagoff, Sifu Linda (BEBAS).

Bagaimanapun, perhatian tertumpu pada dua gabungan sama ada BN akan merampas kerusi Sungai Buloh atau PH mengekalkan kemenangan.

Suara.TV juga berkesempatan membuat tinjauan dan mengajukan beberapa pertanyaan kepada penduduk Sungai Buloh tentang harapan mereka kepada bakal wakil rakyat di kawasan itu.

Rata-rata meminta walau siapa pun yang akan menjadi Ahli Parlimen, kebajikan kepada rakyat tidak dilupakan.

Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, penduduk Sungai Buloh mahukan seorang wakil rakyat yang mampu menjaga mereka.

Bagi Farhana Ayob, 41, selain mahukan wakil rakyat yang dapat memajukan Sungai Buloh, beliau juga mahu seorang pemimpin yang tidak pentingkan diri sendiri dan sentiasa mengutamakan rakyat.

“Kalau boleh nak wakil rakyat yang boleh majukan Sungai Buloh dan menolong semua rakyat. Yang penting, jangan susahkan rakyat.

“Kalau boleh nak wakil rakyat yang tak pentingkan diri sendiri, pentingkan rakyat dulu,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai.

Selain itu, bagi Darsun Damili, 60, beliau menyeru para pengundi agar tidak memandangkan parti politik sesetengah calon.

Ini kerana, baginya, apa yang penting ialah calon tersebut mampu membawa pembaharuan kepada kawasan Parlimen.

“Jangan pandang parti politik, sama ada parti itu menang atau kalah, tapi tengok pada calon yang bertanding. Parti tumbang atau kalah itu bukan ukuran.

“Saya harap pengundi bijak menilai calon yang mahu melakukan pembaharuan,” kata Darsun.

Nasir Ismail, 39, pula berkongsi kisah tentang kampungnya yang terletak di kawasan Paya Jaras. Kata Nasir yang berniaga sendiri, beliau tidak kisah siapa pun yang menang menjadi wakil rakyat di Sungai Buloh.

Namun, yang paling penting, beliau mengharapkan agar bantuan terus disalurkan ke kampungnya yang terletak agak jauh dari bandar bagi memastikan penduduk sentiasa mendapat bekalan makanan mencukupi.

“Sebelum ini saya banyak terima bantuan dari wakil Parlimen saya dan saya agih pada kampung saya. Saya nak, walau sesiapa pun yang menang, perkara itu tetap diberi.

“(Sebelum ini) dua minggu sekali, ada sayur percuma dan bekalan makanan lain untuk kampung saya. Jadi, saya tak kisah siapa pun menang tapi bantuan perlu tetap diteruskan,” katanya.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Lim pula memberitahu, harga barangan kini terlalu mahal dan berharap agar pihak yang menjadi kerajaan dapat mengawal harga barangan.

“Harap dapat menjaga harga barang sebab terlalu mahal sekarang,” ujarnya.

Di Sungai Buloh, berlaku peningkatan pengundi iaitu sebanyak 67,383 pengundi. Pada PRU-14, selepas persempadanan semula, jumlah pengundi di kawasan itu ialah sebanyak 90,707 pengundi dan kini meningkat kepada 158,090 pengundi.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi yang paling ramai di kawasan itu melibatkan penduduk berumur antara 21 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 42,613 pengundi diikuti usia 30 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 33,538 pengundi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat