Malaysia ikrar lindungi kanak-kanak tanpa batas status, warganegara – PM

- Advertisement -

Malaysia ikrar lindungi kanak-kanak tanpa batas status, warganegara – PMKUALA LUMPUR – Selari dengan konsep Keluarga Malaysia dan pelantikan negara untuk menduduki kerusi di Human Rights Council (atau HRC), Malaysia kekal komited dalam memberi perlindungan kepada kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak dari golongan rentan, mangsa keganasan seksual dan keganasan rumah tangga.

Di antara Jun 2020 dan Ogos 2021, sebanyak 1,721 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak telah direkodkan dan terdapat 2,162 kes aktif yang
sedang dalam perbicaraan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di samping itu, kerajaan teguh dalam memperkukuh rangkaian penuh hak semua kanak-kanak di bawah bidang kuasa Malaysia serta meningkatkan kerjasama pelbagai sektor dan antara agensi, termasuk pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan antarabangsa di bawah United Nations.

” Juga, jangan kita lupa tentang perlindungan kanak-kanak dalam tahanan. Komitmen Malaysia dalam menangani isu ini dapat dilihat dalam penubuhan program Alternative to Detention (ATD) apabila kerajaan berikrar sebagai ahli HRC.

” Kerajaan bertanggungjawab dalam melindungi semua kanak-kanak di negara ini, tanpa mengira kewarganegaraan, bangsa, agama, kelahiran atau status-status lain,” ujarnya.

Ismail Sabri menambah, kepentingan terbaik mereka mesti diambil kira – terutamanya apabila menangani keperluan kanak-kanak yang terdedah,
termasuk kanak-kanak pelarian ataupun refugee.

Katanya ini adalah selaras dengan prinsip Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak. Sejak sekian lamanya, Malaysia kekal komited berhubung hal penahanan untuk kanak-kanak di Malaysia.

” Melangkah ke hadapan, kita mesti melakukan yang terbaik untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk menangani isu global yang berkaitan dengan kanak-kanak.

” Program kesedaran seperti acara hari ini adalah antara tindakan yang boleh diambil untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang hak kanak-kanak.

” Marilah kita berikrar untuk melindungi anak-anak kita daripada segala amalan yang memudaratkan dan diskriminasi, kerana mereka adalah bunga-bunga taman Allah SWT,” ucap Perdana Menteri.

Menurut beliau, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Dasar ini kata beliau selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) 1995 dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

Perdana Menteri berkata demikian sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada 20 November setiap tahun dalam usaha kebersamaan di peringkat antarabangsa dalam menjaga kebajikan kanak-kanak dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu mendesak yang dihadapi mereka.

” Kanak-kanak amat berharga di hati saya kerana mereka merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga kepada kita. Saya percaya, adalah tidak memadai jika kita hanya memperuntukkan satu hari dalam setahun untuk memperingati hak dan keperluan yang sepatutnya dinikmati mereka.

” Kita sebenarnya perlu berusaha lebih untuk melindungi kanak-kanak kerana ada di antara mereka bakal menjadi pemimpin yang hebat di masa akan datang,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi untuk mendapatkan pendidikan dan membesar dalam suasana yang kondusif agar mereka mampu menjadi individu yang boleh mencapai potensi penuh dan mengejar impian mereka.

Oleh itu katanya, kita semua mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk setiap kanak-kanak.

” Kanak-kanak merupakan modal insan penting kepada negara. Modal insan ini dapat dibangunkan kepada tahap optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif.

” Di Malaysia, individu berumur di bawah 18 tahun didefinasikan sebagai seseorang kanak-kanak seperti yang termaktub dalam CRC. Dalam hal ini, Malaysia berpegang teguh dengan matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), agar tiada kanak-kanak yang terpinggir dalam pembangunan negara, dan mereka berhak untuk hidup dengan selamat dan gembira.

” Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah mengakibatkan perubahan besar terhadap sosio ekonomi di seluruh dunia, tetapi wabak yang melanda ini tidak harus menggoyahkan keazaman kita dalam memberi perlindungan dan kesejahteraan kepada kanak-kanak. Usaha bersepadu daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat secara amnya sangat diperlukan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan selamat untuk kanak-kanak membina masa depan mereka. Sebagai ‘Keluarga Malaysia’, marilah kita bersama-sama mencapai matlamat ini,” seru Perdana Menteri.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pengerang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial, Datuk Seri Azalina Othman Said.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat