KUALA LUMPUR – Perancangan perbandaran dirangka dengan mengambil kira semua kriteria bawah Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN Ke-4),” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hari ini beliau melancarkan Indeks Daya Huni Malaysia yang bakal menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada semua lokaliti khususnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perdana Menteri berkata, Indeks Daya Huni juga akan digunakan sebagai satu instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar agar matlamat RFN Ke-4 dengan didasari Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dapat dicapai sebaiknya.

“Di seluruh dunia, Daya Huni atau Livability menjadi satu instrumen penting dalam menarik pelaburan dan menjadikan persekitaran mesra pelabur.

“Ini termasuklah soal ‘last-mile connectivity’, akses kepada internet, akses kepada kemudahan awam dan pelbagai lagi faktor yang diambil kira dengan menjadikan rakyat sebagai teras utama penerima manfaat.

“Bagi melihat keseluruhan pelaksanaan RFN Ke-4 serta aspek daya huni yang boleh memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi negara, sukacita saya umumkan bahawa satu Indeks Daya Huni Malaysia atau Malaysia Livability Index akan diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui peranan PLANMalaysia,” katanya pada Majlis Sambutan 100 Tahun Perancang Bandar di Malaysia sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia tahun 2021 Peringkat Kebangsaan, pada Rabu.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ismail Sabri berkata, beliau yakin semua pihak khususnya Kementerian dan agensi – agensi di peringkat Persekutuan mahupun negeri akan komited dengan pelaksanaan RFN Ke-4.