KUALA LUMPUR – Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam, John Siow Kong Choon memperkenalkan NS360 – Connected, Digital & Sustainable State iaitu satu gagasan untuk menjadikan Negeri Sembilan lebih stabil, maju dan makmur melalui pentadbiran yang lebih cekap, berintegriti dan dekat dengan rakyat.
Beliau dalam satu kenyataan percaya Negeri Sembilan memerlukan pendekatan baharu dalam pentadbiran, pendekatan yang bukan sekadar menyelesaikan keperluan hari ini, tetapi turut membina asas kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, NS360 berteraskan empat fokus utama iaitu pertama, memperkukuh kestabilan kewangan dan integriti melalui pengurusan hasil, tunggakan, perbelanjaan dan tadbir urus yang lebih telus serta berkesan.
“Kedua, mentransformasikan budaya kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya lebih pantas, cekap, responsif dan berorientasikan penyelesaian. Rakyat tidak seharusnya berdepan birokrasi yang melambatkan urusan mereka,” katanya.
Beliau berkata teras ketiga ialah memperkasa sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan dengan memastikan aspek kebersihan, keceriaan, landskap, promosi dan pengalaman pelancong diberikan perhatian menyeluruh.
“Keempat, menubuhkan Think Tank PBT Negeri Sembilan sebagai wadah menghimpunkan kepakaran, idea dan inovasi bagi mencari penyelesaian terhadap cabaran hasil, kos, teknologi dan pentadbiran,” katanya.
John berkata NS360 bukan sekadar slogan tetapi ia adalah komitmen untuk membina pentadbiran yang lebih moden, cekap dan lestari demi Negeri Sembilan hari ini dan generasi akan datang.



