24 ADUN BN, PN telah sepakat manakala soal pelantikan MB terserah kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz – Zahid

KUALA LUMPUR – Soal pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan terserah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selaras dengan peruntukan perlembagaan negeri, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata kepimpinan BN di peringkat negeri dan pusat terus berusaha mencari penyelesaian berhubung kedudukan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.

“Kita serahkan kuasa pelantikan ini kepada Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar, selaras dengan segala perkara yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Keempat Perwakilan Pusat MCA Penggal Ke-30 di sini hari ini.

Mengulas isu itu, Ahmad Zahid turut merujuk kepada perjumpaan khas ADUN Negeri Sembilan.

Semalam 24 daripada 25 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk mematuhi arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti susulan perjumpaan di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat. Seramai 22 ADUN hadir, manakala dua lagi yang berada di luar negara menyatakan sokongan terhadap keputusan perjumpaan itu. Ismail tidak hadir.

Pada 16 November, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan bahawa Ismail telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Menurut Zambry, Ahmad Zahid menerima salinan surat peletakan jawatan yang, katanya, telah diutus kepada Tuanku Muhriz.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada Jumaat memaklumkan bahawa Ismail, ketika menghadap Tuanku Muhriz, menafikan beliau menyerahkan atau bersetuju surat itu diserahkan. Istana turut menegaskan bahawa Ismail perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, meminta pemimpin parti komponen BN mengelakkan polemik terbuka dan menyelesaikan perbezaan pandangan di peringkat kepimpinan parti bagi mengelakkan salah tafsir dalam kalangan masyarakat. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat