Apa yang biasanya kita lakukan apabila telefon terjatuh? Sudah tentu perkara pertama yang dibuat ialah terus mengutip telefon tersebut sambil berharap skrin masih elok. Kalau ada retak sedikit pun, mulalah hati tidak senang dan dalam kepala sudah terbayang kos untuk membaikinya.
Tetapi bagaimana pula kalau telefon tersebut ditembak menggunakan air gun?
Situasi itu mungkin kedengaran agak keterlaluan untuk sebuah telefon pintar, namun itulah antara perkara yang berlaku ketika HONOR memperkenalkan HONOR X9e Pro kepada media di Kuala Lumpur hari ini. Dalam demonstrasi yang dijalankan secara terkawal, telefon pintar terbaharu daripada siri X itu menerima beberapa tembakan terus ke arah skrin menggunakan air gun, tetapi selepas diuji, peranti berkenaan masih kelihatan utuh tanpa keretakan yang jelas dan kekal berfungsi.

Kalau satu hentakan kecil pun sudah cukup untuk membuat pemilik telefon biasa menarik nafas panjang, X9e Pro pula nampaknya mahu membuktikan bahawa ia boleh mengambil sedikit “penderaan” sebelum mula mengalah.
Sebenarnya, ujian air gun itu hanyalah sebahagian daripada demonstrasi ketahanan yang disediakan HONOR. X9e Pro turut digunakan untuk mengetuk paku pada kayu, menghancurkan tin logam dan menerima hentaman bola logam yang dilancarkan menggunakan lastik. Kesemua ujian tersebut dilakukan bagi menunjukkan kemampuan teknologi ketahanan yang dibawa oleh peranti ini.
HONOR X9e Pro dilengkapi HONOR Ultra-Bounce Anti-Drop Technology 4.0, yang diinspirasikan daripada sistem keselamatan Halo dalam perlumbaan Formula 1. Teknologi ini direka untuk membantu peranti bertahan daripada jatuhan sehingga tiga meter pada 10 jenis permukaan, termasuk asfalt, batu turap dan granit kasar.
Ia turut dilengkapi sistem 360° Dynamic Drop Resistance yang direka untuk melindungi telefon daripada jatuhan dari pelbagai sudut sehingga 1.2 meter. Menurut HONOR, sistem tersebut mampu mengurangkan risiko kerosakan skrin sehingga 82 peratus. X9e Pro juga memperoleh pensijilan SGS 5 Stars Comprehensive Reliability bagi ketahanan dan kebolehpercayaan dalam keadaan mencabar.
Namun, HONOR nampaknya tidak mahu X9e Pro dikenali hanya kerana mampu menerima hentaman. Satu lagi perkara yang agak sukar untuk diabaikan ialah baterinya yang mempunyai kapasiti 11,000mAh.

Kapasiti tersebut merupakan peningkatan besar berbanding 8,300mAh yang digunakan pada generasi sebelumnya. Bagi memberi gambaran betapa besarnya angka itu, HONOR menunjukkan perbandingan bahawa satu X9e Pro membawa kapasiti bateri yang melebihi dua unit iPhone 16 Pro Max, bersamaan lebih daripada 183 earbuds dan bahkan lebih besar daripada sebuah power bank 10,000mAh.
Dengan kapasiti sebegitu, X9e Pro sememangnya menyasarkan pengguna yang mahukan telefon yang boleh bertahan lebih lama, terutama mereka yang banyak berada di luar, bekerja dalam perjalanan atau tidak mempunyai masa untuk sentiasa mencari soket elektrik.
Lebih menarik, bateri besar itu bukan hanya digunakan untuk menghidupkan telefon. X9e Pro turut menyokong 27W wired reverse charging, membolehkan telefon digunakan untuk mengecas peranti lain. Dalam demonstrasi HONOR, sebuah X9e Pro digunakan untuk mengecas iPhone, jam pintar dan earbuds secara serentak, sambil turut membekalkan kuasa kepada monitor mudah alih.
Mudah cerita, telefon ini boleh bertukar menjadi power bank apabila keadaan memerlukan. Untuk mengecas semula baterinya pula, terdapat sokongan 80W HONOR SuperCharge, yang membantu mengurangkan masa menunggu sebelum telefon boleh digunakan kembali.
Kalau bateri sudah besar, telefon pula lasak, satu lagi persoalan yang timbul ialah bagaimana pula jika telefon terkena air?

Dalam aspek ini, HONOR X9e Pro hadir dengan perlindungan IP68, IP69 dan IP69K, termasuk kemampuan untuk menghadapi pancutan air bertekanan tinggi serta air bersuhu tinggi. HONOR turut menyatakan bahawa peranti tersebut mampu bertahan dalam rendaman sehingga 10 meter dan telah diuji melalui sehingga 100,000 kitaran rendaman.
Reka bentuk perlindungan air X9e Pro pula menggunakan sistem pengedapan tiga lapisan yang diinspirasikan daripada seni bina kalis air kapal selam. Bahagian penting seperti butang, pembesar suara, port USB-C dan dulang SIM turut diberikan perlindungan tersendiri, manakala sistem saliran pada bahagian pembesar suara membantu menguruskan air selepas peranti terdedah kepada keadaan basah.
Bagi pengguna yang gemar melakukan aktiviti luar seperti memancing, bersukan atau sekadar tidak mahu terlalu risau apabila telefon terkena hujan, ciri seperti ini sememangnya boleh memberikan sedikit ketenangan.
Dalam masa sama, HONOR turut memberikan perhatian kepada sesuatu yang lebih dekat dengan penggunaan harian, iaitu paparan. X9e Pro hadir dengan skrin yang menawarkan kecerahan puncak sehingga 10,000 nits, membolehkannya kekal lebih mudah dilihat dalam keadaan pencahayaan luar yang sangat terang.
Dalam demonstrasi media, HONOR turut membandingkan paparan X9e Pro dengan beberapa telefon lain di bawah cahaya matahari secara terus. Perbandingan tersebut memberikan gambaran bagaimana tahap kecerahan skrin boleh mempengaruhi keterlihatan apabila telefon digunakan di luar.
Selain ciri ketahanan dan spesifikasi yang besar, X9e Pro masih cuba mengekalkan penampilan yang lebih premium. Peranti ini hadir dalam empat pilihan warna iaitu Royal Purple, Dawn Gold, Reddish Brown dan Midnight Black, dengan kemasan berimej metalik yang memberikan rupa lebih bergaya.
Semua ini datang ketika HONOR mahu meneruskan momentum siri X di Malaysia. Menurut HONOR, siri X merupakan siri telefon pintar kelas pertengahan paling laris di Malaysia dan telah mengekalkan kedudukan tersebut selama 37 bulan berturut-turut sehingga Mac 2026, dengan bahagian pasaran pernah mencecah 77 peratus.

Kini, X9e Pro hadir untuk meneruskan legasi tersebut dengan pendekatan yang agak jelas telefon yang bukan sahaja mahu kelihatan menarik, tetapi juga mahu lebih tahan menghadapi ragam kehidupan seharian.
Walaupun HONOR sudah mendedahkan beberapa ciri utama, masih ada satu perkara penting yang belum diketahui iaitu harga serta spesifikasi penuh untuk pasaran Malaysia.
Jawapannya bakal diketahui pada 24 September 2026, apabila HONOR Malaysia mengadakan pelancaran rasmi X9e Pro menerusi Facebook rasmi HONOR Malaysia pada jam 3 petang. Pada acara tersebut, harga, spesifikasi lengkap serta pakej hadiah eksklusif akan didedahkan.
Buat masa ini, X9e Pro sudah cukup memberikan gambaran tentang pendekatan HONOR kali ini. Daripada bateri 11,000mAh hinggalah ketahanan terhadap jatuhan, air dan hentaman, telefon ini jelas dibina untuk pengguna yang mahukan lebih daripada sekadar peranti untuk membalas mesej, menonton video atau melayari media sosial.
Lagipun, dalam kehidupan sebenar, telefon tidak pernah tahu bila ia akan terlepas dari tangan, terkena hujan atau terhentak di atas meja.
Bezanya kali ini, HONOR X9e Pro nampaknya sudah bersedia terlebih dahulu.



