KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding bagi menyiasat pengurusan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 pada Rabu depan, 25 November, susulan dapatan Laporan Ketua Audit Negara Siri 2/2026.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata jawatankuasa itu akan memanggil saksi utama daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, serta pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek, termasuk pegawai dan individu yang berkhidmat sejak peringkat perancangan.
Beliau berkata PAC turut menjemput Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Sabah untuk menyertai prosiding sepanjang siasatan itu, satu langkah yang diambil buat kali pertama.
“PAC tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran tatacara kewangan atau penyalahgunaan kuasa dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini, lapor Bernama.
Mas Ermieyati berkata wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang merupakan ahli ex officio PAC, akan menghadiri setiap prosiding. Sebarang salah laku yang dikenal pasti akan dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
Menjelang prosiding itu, PAC mengadakan perbincangan selama satu setengah jam dengan lima Ahli Parlimen Sabah semalam bagi mendapatkan gambaran keadaan di lapangan sebelum saksi dipanggil.
Mereka dipilih kerana kawasan masing-masing merekodkan kemajuan fizikal paling kritikal, dengan kerja pembinaan di kawasan berkenaan dikategorikan sebagai bermasalah dan lewat.
Lima Ahli Parlimen itu ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal (Lahad Datu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran), Datuk Siti Aminah Aching (Beaufort) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).
Menurut Mas Ermieyati, mereka berkongsi keadaan di tapak pembinaan, masalah harian yang dihadapi penduduk serta risiko keselamatan yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya akibat kelewatan berpanjangan.
Beliau berkata maklumat itu membantu PAC memahami punca masalah dengan lebih jelas dan menentukan perkara yang perlu diberi tumpuan semasa prosiding.



