KUALA LUMPUR – Tindakan menarik balik surat kepada Majlis Raja-Raja berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, tidak bermakna krisis kepercayaan terhadap kerajaan negeri sudah berakhir.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar berkata, penarikan balik surat berkenaan sebaliknya menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dijawab secara terbuka, khususnya berhubung perubahan pendirian kerajaan negeri dan dakwaan wujud unsur paksaan dalam menandatangani dokumen berkaitan.
Menurutnya, langkah menarik balik surat bertarikh 17 September itu boleh dianggap sebagai usaha membetulkan tindakan terdahulu, namun tidak semestinya dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri secara automatik.
“Apakah yang menyebabkan perubahan pendirian ini? Adakah kerana kesedaran bahawa tindakan terdahulu tidak wajar, kerana perkembangan undang-undang, atau kerana teguran Majlis Raja-Raja Melayu?
“Rakyat berhak mengetahui sebab sebenar perubahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz mengulas laporan Berita Harian bertarikh 14 November mengenai tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim bersama 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menarik balik surat berkenaan dan menegaskan semula sokongan kepada Tuanku Muhriz.
Beliau berkata, penjelasan mengenai perubahan pendirian itu penting memandangkan tindakan terdahulu berkait dengan kedudukan institusi diraja negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Mahfuz turut membangkitkan persoalan berhubung dakwaan Ismail sebelum ini bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkaitan Tuanku Muhriz sehingga mendorongnya membuat laporan polis.
Katanya, Menteri Besar perlu menjelaskan pihak yang didakwa melakukan paksaan, bentuk tekanan yang berlaku serta perkembangan siasatan berhubung laporan polis tersebut.
Mahfuz berkata, sekiranya dakwaan paksaan itu tidak lagi menjadi pendirian Ismail, penjelasan tetap diperlukan bagi memastikan tidak timbul kekeliruan mengenai kedudukan laporan yang dibuat sebelum ini.
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa laporan polis itu palsu atau dakwaan paksaan itu direka-reka.
“Menteri Besar Negeri Sembilan wajib menjelaskan perkara ini kerana beliau sendiri yang membuat dakwaan dan laporan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, penarikan balik surat semata-mata juga belum memadai untuk memastikan hubungan antara istana, Menteri Besar dan pentadbiran negeri kembali pulih sepenuhnya.
Beliau berpandangan Ismail perlu menggariskan langkah konkrit bagi membina semula hubungan berasaskan rasa hormat, amanah dan kepercayaan antara institusi terbabit.
Menurutnya, jawatan Menteri Besar memainkan peranan penting sebagai penghubung antara istana dengan kerajaan negeri, justeru sebarang pertikaian yang menjejaskan hubungan itu perlu ditangani secara bertanggungjawab.
Mahfuz turut mempersoalkan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kesan krisis berkenaan, yang menurutnya bukan sekadar melibatkan individu atau kepentingan politik.
Katanya, episod pertikaian itu turut membabitkan pelantikan dan pembatalan pelantikan Exco, penggantungan pegawai kanan kerajaan negeri serta tindakan undang-undang yang menyusul.
Beliau berpandangan perkembangan tersebut memberi kesan kepada kewibawaan institusi diraja, kestabilan pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Negeri Sembilan.
“Kesetiaan kepada raja bukan seperti suis lampu. Ia tidak boleh hari ini dipadamkan, esok dipasang semula apabila keadaan politik berubah.
“Mengangkat sembah boleh dilakukan dalam beberapa saat. Tetapi membina semula kepercayaan memerlukan kejujuran, konsistensi dan tindakan yang berterusan,” katanya.
Mahfuz menegaskan bahawa isu tersebut bukan bertujuan mempertahankan mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya menyentuh kepentingan institusi raja berperlembagaan, keluhuran Perlembagaan dan kestabilan pentadbiran negeri.
Sehubungan itu, beliau berkata, penarikan balik surat berkenaan tidak sepatutnya dianggap sebagai penamat kepada pertikaian, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk memulihkan kepercayaan dan memastikan pihak berkaitan bertanggungjawab terhadap tindakan terdahulu.
“Surat sudah ditarik balik,tetapi siapa boleh menarik balik persoalan rakyat? Siapa boleh memadamkan keraguan yang telah timbul?
“Dan siapa boleh menjamin perkara yang sama tidak akan berulang?
“Negeri Sembilan tidak kekurangan kuasa. Negeri Sembilan sedang memerlukan semula kepercayaan,” katanya.



