KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa ujian Sistem Amaran Awal Nasional yang dijadualkan hari ini hanya melibatkan ujian teknikal dalaman.
MCMC menerusi kenyataan di Facebook rasminya berkata dakwaan yang tular di media sosial dan WhatsApp bahawa ujian amaran kepada orang awam akan dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang adalah tidak benar.
Antara hantaran yang dikongsi di Threads mendakwa telefon bimbit mungkin mengeluarkan bunyi siren pada 19 November sebagai sebahagian daripada ujian sistem amaran bencana.
“Ujian teknikal dalaman ini bertujuan menilai kesiapsiagaan dan keberkesanan sistem sebelum pelaksanaan yang lebih meluas, dan bukannya ujian amaran kepada orang awam di negeri-negeri seperti didakwa,” menurut kenyataan itu, seperti dilaporkan Bernama.
MCMC menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan merujuk saluran rasmi suruhanjaya itu untuk mendapatkan perkembangan serta pengumuman terkini.



