TOKYO – Pita magnet yang pernah digunakan secara meluas dalam kaset audio dan video kini kembali mendapat permintaan sebagai medium penyimpanan data berkapasiti besar secara luar talian, susulan peningkatan ancaman serangan siber, termasuk yang menggunakan kecerdasan buatan (AI), lapor Bernama yang meetik agensi berita Kyodo News.
Fujifilm merancang melabur kira-kira 10 bilion yen (AS$63 juta) di kilangnya di Odawara, Wilayah Kanagawa, bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran pita magnet kepada kira-kira lima kali ganda berbanding paras tahun fiskal 2025. Pelaburan itu akan dilaksanakan sehingga tahun fiskal 2028.
Pita magnet membolehkan organisasi menyimpan salinan sandaran secara fizikal di luar rangkaian komputer. Jika perisian tebusan menyulitkan fail pada sistem utama, organisasi masih boleh menggunakan salinan luar talian untuk memulihkan data. Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur Amerika Syarikat (CISA) turut mengesyorkan supaya salinan sandaran luar talian disulitkan dan diuji secara berkala bagi memastikan data boleh dipulihkan.
Pita magnet moden, atau *magnetic tape*, menggunakan prinsip yang sama seperti pita kaset. Data digital dirakam pada jalur bersalut bahan magnet yang disimpan di dalam kartrij. Pemacu khas perlu menggulung pita ke kedudukan fail sebelum membacanya, menjadikan teknologi ini sesuai untuk arkib jangka panjang dan salinan sandaran.
Kartrij LTO-10 berkapasiti tertinggi keluaran Fujifilm boleh menyimpan 40 terabait (TB) data tanpa pemampatan dan sehingga 100 TB dengan pemampatan, bergantung pada jenis data yang disimpan.
Dalam pengumuman pelaburannya, Fujifilm turut menyebut peningkatan jumlah data daripada penggunaan AI generatif dan perkhidmatan awan sebagai pendorong permintaan untuk arkib jangka panjang. Data konsortium LTO pula menunjukkan jumlah kapasiti pita yang dihantar meningkat 57 peratus pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, selepas menurun daripada 176.5 eksabait pada 2024 kepada 160.3 eksabait pada 2025.- SUARA.TV



