Oleh Zihan Zari
KAJANG – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil maklum laporan serta syor yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung siasatan insiden operasi penguatkuasaan penagihan dadah di Bera, Pahang pada 13 Oktober lalu, kata Ketua Pengarahnya, Dato’ Ruslin Jusoh.
Beliau berkata, AADK memandang serius setiap dapatan siasatan tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta sebarang bentuk kecuaian pegawai dan anggota penguat kuasa semasa menjalankan tugas.
“AADK akan mengambil tindakan susulan berdasarkan syor-syor yang dikeluarkan EAIC antaranya tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati cuai atau gagal mematuhi SOP dan Perintah Tetap Ketua Pengarah (PTKP) di samping gagal membuat catatan dalam buku catatan (pocket book).
“Berdasarkan syor ini juga, AADK akan menambah baik Garis Panduan Berkenaan Pertimbangan Tahap Risiko (Risk Assessment) semasa operasi.
“AADK juga akan memastikan pematuhan penggunaan buku catatan semasa menjalankan operasi penguatkuasaan tanpa sebarang pengecualian, ”katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai syor perolehan kamera badan (body camera), beliau berkata, AADK akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengangkat permohonan peruntukan perolehan tersebut kepada Kementerian Kewangan (MoF).
Katanya lagi, AADK kekal komited untuk memastikan setiap operasi penguatkuasaan dijalankan secara berhemah, telus, dan mematuhi undang-undang serta hak asasi manusia demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.-SUARA.TV



