KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000 perlu dilihat sebagai usaha memelihara warisan negara, bukan isu perkauman.
Menurut jurucakap Jabatan Penerangan, premium itu diturunkan daripada anggaran terdahulu sekitar RM4.67 juta selepas status tanah berkenaan ditukar daripada komersial kepada institusi.
“Tanah itu kini tidak boleh dibangunkan untuk kondominium atau pusat beli-belah, dan dikekalkan khusus sebagai bangunan institusi serta warisan,” jelasnya.
KLSCAH, yang berusia lebih seabad dan diiktiraf sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada 2007, memohon pengurangan premium berdasarkan nilai sejarah dan status bukan bermotifkan keuntungan.
Jabatan itu menerangkan, jawatankuasa penilaian kemudian meluluskan premium nominal RM1,000 kerana tanah itu telah kehilangan nilai komersial.
Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar berdasarkan notis tanah ialah RM5,011, termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran. Sewa tahunan ditetapkan pada RM3,151.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menjelaskan keputusan itu dibuat susulan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari penyelesaian bagi memastikan institusi bersejarah itu terus terpelihara.
Beliau menegaskan pemeliharaan warisan tidak seharusnya dilihat sebagai keistimewaan kepada mana-mana kaum.
“DBKL sedang mengkaji kawasan berpotensi dijadikan kampung tradisional Melayu di Sungai Penchala, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanchong.
“Kerajaan bagaimanapun perlu menjelaskan kriteria dan asas penilaian bagi keputusan sedemikian secara telus, supaya pendekatan sama dapat dinikmati semua institusi warisan yang memenuhi syarat.
“Memelihara warisan masyarakat Cina, Melayu, India dan komuniti lain bukan bermakna mengabaikan mana-mana pihak. Ia sebaliknya mencerminkan tanggungjawab bersama untuk mempertahankan sejarah dan identiti Malaysia,” kata Jabatan Penerangan.



