Survival Barisan Nasional & Keangkuhan PPBM.

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Mohd Shariff

Semasa menonton rakaman sesi Wacana Sinar Harian yang bertajuk “Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara” yang disertai oleh Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Shahril Hamdan Sufian, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, terdetik di hati penulis betapa angkuhnya PPBM dalam menghargai rakan-rakan dari parti lain yang membentuk kerajaan sedia ada.

Sebagai sebuah parti kecil yang telah berjaya meletakkan dua orang pemimpin tertinggi mereka sebagai Perdana Menteri, PPBM perlu lebih peka dengan rakan-rakan yang telah membantu mereka mengecapi kejayaan tersebut. Kejayaan yang ada di tangan PPBM sekarang bukanlah kerana perjuangan bertahun-tahun menempuh ranjau dan duri sepertimana yang telah ditempuhi oleh ahli-ahli politik lain di dalam Keadilan, DAP ataupun PAS, yang mana parti-parti ini pernah menjadi pembangkang.

PPBM hanya berjaya kerana strategi politik atau political manoeuvre, yang disokong oleh Barisan Nasional, PAS dan juga Pasukan Azmin & Zuraida. Ada dikalangan rakyat yang begitu asyik mengatakan apa yang berlaku semasa “Langkah Sheraton” adalah satu pengkhianatan, namun bagi hemat penulis, langkah tersebut adalah perlu kerana pada ketika itu, kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri bersama Pakatan Harapan telah gagal untuk mentadbir negara.

Pada mulanya penulis amat menyokong Perikatan Nasional kerana hasil usahasama ini telah memperkukuhkan perpaduan ummah dikalangan orang Islam & Melayu di Malaysia. Ia juga telah membuka ruang kepada kerajaan untuk mengambil pemimpin-pemimpin yang berpengalaman seperti Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishamuddin Hussin, Khairy Jamaluddin, Datuk Takiyuddin Hassan dan ramai lagi yang berada di luar kelompok Pakatan Harapan (pada ketika itu) untuk mencurah bakti kepada negara dengan menjadi kerajaan di bawah Perikatan Nasional.

Tetapi setelah 10 bulan kerajaan ini memerintah negara, penulis rasakan PPBM perlu bermuhasabah diri dan sedar akan status mereka sebagai sebuah parti pemerintah hanya kerana persetujuan parti-parti lain di luar Pakatan Harapan untuk menyokong mereka. Untuk menyatakan bahawa UMNO atau parti-parti lain yang telah memberi sokong kepada mereka tidak dianak tirikan, adalah satu percubaan untuk menutup permasalahan yang sudahpun telah terbuka untuk dilihat oleh rakyat jelata.

Pada ketika warkah ini ditulis, lihat sahaja pertelingkahan yang berlaku antara penyokong PPBM dan Barisan Nasional di media sosial. Lagaknya tidak ubah seperti musuh, walaupun pada dasarnya mereka berada di dalam satu kerajaan yang sama. Penyokong PPBM perlu sedar bahawa apa yang dilakukan pemimpin mereka terhadap rakan-rakan lain di dalam kerajaan sekarang, adalah punca utama mengapa sesetengah pemimpin UMNO memberontak dan menolak Perikatan Nasional secara terang-terangan.

Yang lebih menyedihkan lagi, di dalam PPBM sendiri, mereka turut menganak tirikan pemimpin yang telah berkorban untuk meninggalkan parti asal mereka untuk memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional dengan menyertai PPBM.

Sebagai contoh, jika kita lihat Datuk Seri Azmin Ali, yang merupakan pemimpin paling kanan di dalam Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), apabila menyertai PPBM, beliau tidak diberikan peluang yang sepatutnya. Mantan Timbalan Presiden Keadilan itu hanya diberikan jawatan Ketua Penerangan Perikatan Nasional sahaja, walaupun sudah terang lagi bersuluh, tanpa beliau Perikatan Nasional ini tidak akan wujud.

Ini juga berlaku dengan Datuk Zuraida Kamaruddin, seorang pemimpin wanita yang terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Apabila menyertai Perikatan Nasional, sewajarnya jawatan ketua wanita itu diberikan kepada beliau, kerana dengan pengalaman yang beliau ada sudah tentu sayap wanita perikatan tersebut akan berupaya menjadi lebih kuat. Ini tidak, diberinya pula kepada Datuk Seri Rina Harun yang sudah ternyata terlalu hijau untuk mengetuai pergerakan sebesar ini di peringkat nasional.

Itu belum lagi dibicarakan tentang pemberian peruntukkan terhadap ahli parlimen yang disalurkan secara tidak adil, isu-isu perundangan dan isu-isu politik yang sudah terlalu banyak memaparkan sisi buruk PPBM sebagai “parti utama” yang menerajui Perikatan Nasional.

Langkah-langkah dangkal dari PPBM ini menyebabkan orang-orang seperti penulis merasa bosan dan memilih untuk tidak lagi menyokong gabungan parti politik ini. Dan penulis juga merasakan, pemimpin PPBM yang kebanyakkannya terlalu jahil (baca ignorant) dalam menilai permasalahan rakyat. Sudah jelas terbukti yang mereka tidak peduli akan pendapat kita semua. Mereka sedang sibuk berada di tampuk kekuasaan sehingga telah melupakan tanggungjawab mereka untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Jika perkara ini tidak benar, tidak lah terjadi insiden pemimpin wanita utama PPBM yang terlalu banyak masa untuk diluangkan, sehinggakan pejabat rasminya dijadikan tempat photoshoot dan berperlakuan ala-ala model kedai kain/pakaian Jakel atau Gulatis Silk House menjelang sambutan Aidilfitri.

Ini tandanya Barisan Nasional & UMNO Perlu Bangkit Semula!

Pada ketika ini, desas desus mengatakan bahawa akan ada pertandingan dalam merebut jawatan Presiden UMNO di antara Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Terus terang saya katakan, tidak kira siapa pun yang menang di dalam pertandingan itu nanti, UMNO perlu terus menjadi suara pendesak dalam memastikan PPBM tidak lagi angkuh dan kalau boleh, gantikan sahaja kekuasaan PPBM ini dengan Barisan Nasional kembali memegang tampuk pemerintahan negara.

Ahli UMNO tidak kira tua atau muda, harus bersama-sama dan bersolidariti dengan pemimpin UMNO. Luaskan jaringan perhubungan dengan rakyat dan sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada ahli dan juga rakyat di setiap cawangan dan bahagian UMNO di seluruh Malaysia.

Barisan Nasional dan UMNO bukanlah parti kecil-kecilan yang boleh dibuli dan diperbudakkan oleh mana-mana pihak. Jika PAS ingin terus bersama PPBM kerana sudah merasai manisnya memegang kuasa, maka biarkan sahaja mereka. Lambat laun mereka juga akan sedar betapa angkuhnya PPBM dan pada masa itu setelah terhantuk barulah mereka akan terngadah. –SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat