Malaysia berdaulat tapi desakan MP ASEAN tak boleh ambil mudah – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendirian tidak wajar wujud campur tangan pihak luar yang mendesak Parlimen kembali bersidang memandangkan Malaysia sebuah negara berdaulat.

Katanya, pendirian beliau berhubung perkara ini masih sama iaitu Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, tidak wajar untuk mana-mana pihak luar mencampuri urusan dalaman Malaysia.

“Barisan Nasional (BN) sejak dulu konsisten menolak campur tangan kuasa asing dalam urusan pentadbiran dan politik negara.

“Pihak luar yang dimaksudkan tidak terhad kepada kerajaan atau pimpinan negara lain, malah NGO dan media-media asing,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, dalam isu seramai 90 Ahli Parlimen negara ASEAN mendesak Parlimen Malaysia kembali bersidang mungkin melibatkan konteks yang lebih sejagat iaitu demokrasi di ASEAN.

“Tentang sistem demokrasi di salah sebuah negara ASEAN. Parlimen yang mempunyai kedudukan utama dalam sistem demokrasi telah digantung oleh salah sebuah negara anggota ASEAN.

“Kita masih mengingati tujuan dan prinsip diabadikan dalam Piagam ASEAN yang turut dipersetujui Malaysia iaitu kepatuhan negara anggota terhadap demokrasi.

“Jika itu ‘concern’ seramai 90 Ahli Parlimen negara ASEAN terbabit, saya beranggapan kerajaan Malaysia tidak boleh ambil mudah berhubung desakan itu.

“Kita bimbang isu ini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada hubungan bilateral Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, malah memberi tempias kepada ekonomi Malaysia di rantau ini,” ujarnya.

Walhal katanya, Malaysia yang mencadangkan sebuah pelan pemulihan ekonomi ASEAN pada Persidangan Khas ASEAN Mengenai Covid-19, April tahun lalu.

“Cumanya saya berharap jika boleh seramai 90 Ahli Parlimen negara ASEAN terbabit jangan hanya tertumpu kepada persoalan demokrasi di Malaysia.

“Sedangkan ada negara ASEAN lain turut bergelut dengan isu demokrasi selepas berlaku rampasan kuasa oleh junta tentera.

“Ada yang bertanya apa pendirian Presiden UMNO tentang 90 Ahli Parlimen luar negara menggesa Parlimen Malaysia kembali bersidang,” ujarnya.

Semalam, seramai 90 Ahli Parlimen itu dikatakan dari negara ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Timor-Leste, Kemboja, Filipina dan Singapura mendakwa proklamasi Darurat Malaysia tidak menepati piawaian antarabangsa. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat