PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa Kementerian Kesihatan menyiasat individu di sebalik pengeluaran ‘surat rasmi’ berhubung pelaksanaan sistem Waktu Bekerja (WBB) di beberapa hospital tertentu, meskipun ia belum diluluskan.
Ketua Pemuda Umno, Dr. Akmal Saleh, melalui video di Facebook, meminta Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad bertindak terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Saya mohon menteri ambil tindakan. Tengok siapa yang pandai-pandai buat ini,” tegasnya sambil memaparkan tangkap layar surat berkenaan yang didakwa sudah diedarkan dan dikatakan berkuat kuasa.
Dr. Dzulkefly sebelum ini memaklumkan kepada pemberita di Putrajaya bahawa WBB masih di peringkat cadangan dan sedang diperhalusi. Sistem ini dikatakan akan mengehadkan waktu kerja doktor dan doktor gigi di hospital awam kepada 18 jam berturut-turut, berbanding 24 hingga 33 jam pada masa ini.
Bagaimanapun, cadangan tersebut telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini memberi amaran bahawa pelaksanaan WBB di tujuh hospital bermula 1 Feb nanti mungkin membawa kesan negatif. Presiden MMA, Dr. Kalwinder Singh Khaira, menjelaskan bahawa sistem ini boleh menjejaskan pendapatan pegawai perubatan awam dan pakar kerana elaun ‘on-call’ hanya diberikan kepada mereka yang bertugas pada hujung minggu dan cuti umum.
Beliau turut menyatakan bahawa syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dan termasuk dalam tempoh kerja 45 jam seminggu tanpa elaun tambahan.
“Tak ada langsung elaunnya, macam mana kita nak hargai doktor,”
“Dah lah doktor tak ramai, buat macam ini lagi ramai doktor kita keluar esok,” tambahnya, merujuk kepada masalah penghijrahan tenaga kerja perubatan ke sektor lain atau ke luar negara.