Pelukis grafik terkenal, Fahmi Reza, menyatakan kesediaannya untuk hadir dan membela diri di Mahkamah Anak Negeri Keningau berhubung karikaturnya yang menggambarkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, sebagai individu paling korup di negeri itu.
Dalam kenyataan di akaun media sosialnya, Fahmi menegaskan bahawa beliau bersedia menerima sebarang hukuman, termasuk penjara dan denda, demi mempertahankan hak kebebasan bersuara melalui seni untuk menentang rasuah.
“Majoriti rakyat Sabah tahu saya bukan musuh masyarakat KDM (Kadazan, Dusun, Murut) atau rakyat Sabah. Musuh kita semua adalah koruptor dan mereka yang melindungi mereka.
“Aku bersedia kena sogid (denda adat) atau masuk penjara bagi pertahankan hak dan kebebasan aku untuk gunakan seni sebagai senjata melawan koruptor negara kita,” katanya, merujuk kepada Ketua Daerah Bingkor, Orang Kaya Kaya Daniel Palangi.
Semalam, Mahkamah Anak Negeri Keningau memaklumkan bahawa saman akan dikeluarkan terhadap Fahmi kerana mendakwa karikaturnya sebagai satu penghinaan serius kepada Musa dan masyarakat Sabah, khususnya komuniti Kadazan, Dusun, dan Murut (KDM).
Fahmi sebelum ini melukis karikatur bertajuk “Koruptor No. 1 Sabah”, yang menggambarkan Musa memakai tengkolok tradisional sambil memegang wang kertas RM100 di mulutnya. Versi awal karya itu turut memaparkan teks “Perasuah Nombor Satu Sabah.”
Beliau dipercayai menampal poster karikatur itu di dinding Kompleks Asia City, Kota Kinabalu, pada 27 Disember, namun poster tersebut diturunkan hanya beberapa jam kemudian.
Berikutan kejadian itu, Fahmi ditahan polis pada 30 Disember dan disiasat. Selepas beberapa hari dalam tahanan reman, beliau dibebaskan pada 2 Januari dan dihantar kembali ke Semenanjung.
Fahmi menegaskan, perjuangannya bukanlah bertujuan menghina mana-mana kaum, tetapi untuk membanteras amalan rasuah yang mencengkam masyarakat.