Wakil rakyat pembangkang dibeli Qarun dengan bayaran mahal – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia kini sedang menghadapi usaha membeli wakil rakyat oleh para Qarun dengan bayaran yang mahal setelah ditekan dengan menafikan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang, khususnya daripada Perikatan Nasional (PN).

Menurut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang , pihak yang berkuasa di negara ini bukan sahaja menafikan hak hasil negeri kepada negeri yang diperintah oleh PAS secara khusus, malah termasuk yang wajib mengikut Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian yang wajib ditunaikan, menggunakan pendekatan yang sama mengikut cerita al-Quran.

“Semua orang boleh berfikir siapa yang menegakkan negara dengan harta yang melimpah-ruah yang datang dari luar dan dalam, perkara ini tidak boleh dinafikan sekali-kali.

“Mereka membentuk kerajaan melalui kerusi minoriti dengan cara membeli parti dan wakil rakyat dengan bantuan Qarun-Qarun yang mengumpulkan kekayaan melalui pengaruh kekuasaan mereka,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS pada Rabu.

Hadi menjelaskan, Firaun menggunakan harta kekayaan dengan bantuan hartawan Qarun dan lain-lain.

Kata beliau, Qarun pada masa itu merupakan seorang hartawan paling kaya yang mengumpulkan harta haram melalui riba, penipuan, dan kemudahan yang diberikan melalui rasuah dan lain-lain saluran tanpa mengira pengharamannya.

Ujar Hadi, Qarun dan orang-orang sepertinya mendapat kemudahan mengumpulkan harta dengan sebanyak-banyaknya dan bersekongkol bersama mereka yang berkuasa melakukan kezaliman.

“Kini, ternyata di Malaysia yang menjadi medan gerakan Islam pasti menghadapi cabaran yang sama. Pihak yang berkuasa mendapat bantuan kekayaan para Qarun pada zaman kini walaupun gerakan Islam dituduh mendapat bantuan tauke judi dan penyumbang rasuah.

“Suatu tuduhan dengan hujah yang bodoh, apabila pihak yang mahu mengharamkan dan menghapuskan judi serta rasuah dibantu supaya kuat dan menang,” katanya.

Hadi malah mendakwa, ternyata DAP yang jelas menentang Islam pada dasarnya, medianya, dan pergerakan politiknya bersama dengan para tauke yang berharta, kini tidak perlu lagi bekerja sendiri.

“Hal ini demikian kerana, mereka sudah dapat menggunakan khadam-khadam mereka, termasuk daripada yang berwajah Islam untuk bercakap, menulis, menjadi calon, dan sebagainya, bagi menembusi kekuatan Islam yang dinamakan ‘gelombang hijau’ dan ditasawurkan (digambarkan) dengan suatu ketakutan jika Islam berkuasa memerintah negara.

“Perkara itu menjadi sebahagian daripada agenda Islamofobia yang dicipta menjadi senjata baharu bagi menentang Islam.
Islamofobia itu terkoyak topengnya dengan tindakan ganas Israel terhadap Gaza, dengan bantuan negara Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang dikuasai oleh Zionis. Keadaan ini menjadikan penyokongnya di Malaysia berada dalam keadaan gelabah dan serba salah.

“Mereka berdemonstrasi kononnya bersimpati dengan Palestin, tetapi dilaksanakan tanpa takbir, takut akan kanak-kanak yang membawa replika senjata, lalu demonstrasi dibuat semula dengan takbir pula.

“Padahal mereka menyokong pendekatan pembentukan dua negara (two-state solution) dan normalisasi yang dirancang oleh Zionis dengan naungan Amerika Syarikat yang menjadi pengelola,” ujar beliau lagi.

Perkara ini katanya laksana melantik pencuri dan perompak menjadi penjaga untuk menipu, bagi memberikan masa kepada negara Israel meneruskan kemasukan pendatang Yahudi Zionis yang dilatih menggunakan senjata serta merampas rumah dan penempatan asal rakyat Palestin.

“Hal ini setelah mereka mengisytiharkan Bait al-Maqdis menjadi ibu negara besar Israel serta merancang untuk merobohkan Masjid al-Aqsa. Oleh sebab itu, Hamas di Gaza bertindak pantas dengan melancarkan serangan Taufan al-Aqsa terlebih dahulu.

“Malaysia juga dipengaruhi oleh perkembangan politik antarabangsa yang menghalang kebangkitan semula Islam. Beberapa peristiwa yang menyekat kemenangan kumpulan Islam telah berlaku, sejak pengharaman Partai Majelis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi) yang memerintah Indonesia sehinggalah menjatuhkan semua kemenangan parti Islam di negara lain, sama ada secara demokrasi menipu, politik merasuah rakyat, ataupun rampasan kuasa tentera.

“Terkini, serangan dilancarkan ke atas Gaza yang dimenangi oleh Hamas secara pilihan raya, setelah mereka gagal membeli dengan kekayaan harta bagi menubuhkan negara Palestin di luar tanah airnya, termasuk menyerahkan Bait al-Maqdis kepada Zionis,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat