KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan meminta musuh politik atau individu yang kurang senang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad agar menghentikan label-label buruk terhadap Negarawan berjasa itu.
Beliau menggesa agar bekas Perdana Menteri dua kali itu diiktiraf dan diberi penghormatan sewajarnya meskipun ada idea-idea dilontarkan kurang dipersetujui.
“Kita juga jangan lupa memberi pengiktirafan kepada seorang yang berumur 98 tahun, dalam wawancara di Keluar Sekejap baru-baru ini Dr Mahathir very engage dengan idea penuh logikal dan tersusun, saya sangat terkejut.
“Saya paling tak suka apabila lawan-lawan Tun Mahathir dalam politik termasuk dalam Umno sewaktu saya aktif dalam Umno panggil dia dengan panggilan-panggilan Atuk, saka, dan dalam komentar-komentar pun masih lihat istilah-istilah itu.
“Saya tak pernah guna istilah itu walaupun saya jadi Naib Ketua Pemuda, Ketua Penerangan kerana dia lawan politik.
“Saya sebut ni bukan saya nak bangga diri, tidak tapi saya berharap dalam era akan berterusan Tun Mahathir memberikan komentar kepada PMX, kepada lawan-lawan politik dia, agar diberikan penghormatan kepada seorang yang jadi PM sangat lama dan seorang yang berumur 98 tahun tak sepatutnya seorang pemimpin politik sama ada muda ataupun tak muda panggil dia dengan istilah-istilah itu,” gesa Shahril dalam podcast Keluar Sekejap pada Khamis.
Shahril mendesak label-label buruk terhadap Dr Mahathir dihentikan meskipun daripada seteru politik beliau.
“Saya berani cakap sebab saya tak pernah guna istilah itu, saya yakin KJ pun tak guna istilah itu tapi sayangnya ada kawan-kawan kita dulu yang cakap dan terus cakap istilah itu.
“Saya rasa hentikanlah. Beliau bekas Perdana Menteri , 98 tahun beri sedikit penghormatan.
“KJ walaupun kita seteru waktu itu hormat sebagai bekas Perdana Menteri dan juga Negarawan,” ujar beliau.