SPRM mohon dapatkan dokumen daripada dua peguam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon mendapatkan beberapa dokumen daripada dua peguam yang disyaki menerima rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan penyelesaian antara Kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM selaku pemohon memfailkan dua permohonan itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Oktober lalu, dengan menamakan Chetan Jethwani dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co serta peguam Rosli Dahlan dan Rosli Dahlan Saravana Partnership sebagai responden.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, SPRM memohon dua responden masing-masing mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan sebagai peguam Goldman Sachs (Chetan) dan 1MDB (Rosli), penyata akaun serta akaun syarikat.

Sementara itu menerusi afidavit dalam kedua-dua permohonan tersebut, Pegawai Penyiasat SPRM Mohamad Sabri Mohd Latif berkata siasatan sedang dijalankan terhadap dua responden itu di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Beliau berkata pada 9 pagi, 6 Oktober lalu, Penguasa Kanan SPRM Muhammad Firdaus Ahmad Sabry dan Mohd Farid Ismail masing-masing telah pergi ke dua pejabat firma guaman itu bagi memberi penerangan berkaitan kes dan proses siasatan yang memerlukan pihak SPRM melaksanakan pemeriksaan selain penggeledahan untuk mendapatkan dokumen.

Menurut Mohamad Sabri, dokumen-dokumen yang diminta SPRM adalah untuk mengenal pasti pelantikan kedua-dua responden sebagai peguam yang bertindak bagi pihak Goldman Sachs (Chetan) dan 1MDB (Rosli) dalam urusan penyelesaian dengan pihak kerajaan Malaysia bagi isu 1MDB.

“Dokumen itu juga diperlukan bagi mengenal pasti peranan serta tindakan responden-responden yang disyaki bersubahat bersama Goldman Sachs dan pihak berkenaan dalam melaksanakan skim yang mengurangkan amaun pampasan atau “asset recovery” dalam urusan penyelesaian yang harus dibayar kepada pihak Kerajaan Malaysia,” kata dokumen itu.

Dalam afidavit jawapan, responden iaitu Chetan mendakwa terdapat kecacatan prosedur yang jelas dalam usul itu antaranya pemohon adalah SPRM dan bukannya pendakwa raya.

“Saya mempercayai bahawa pemohon yang tepat adalah pendakwa raya kerana kuasa untuk geledah dan sita yang terdapat di dalam Seksyen 31 Akta SPRM hendaklah dilaksanakan atau di bawah kuasa pendakwa raya,” katanya.

Peguam itu turut menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian oleh Goldman Sachs untuk membayar kira-kira US$9.7 bilion sebaliknya jumlah penyelesaian yang dipersetujui dan terma pembayaran di dalam perjanjian penyelesaian adalah sulit.

Chetan mendakwa pegawai atasan yang menyoalnya, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin terlibat secara peribadi dalam rundingan perjanjian penyelesaian dan menyelia proses pemulihan aset bagi pihak kerajaan Malaysia selain terbabit secara peribadi dalam proses rundingan pertikaian antara anak guam (Goldman Sachs) dan kerajaan Malaysia.

“Dalam rundingan pertama, kerajaan Malaysia diwakili oleh Tan Sri Tommy Thomas (Peguam Negara ketika itu), Ganesan Nithi dari firma guaman Tan Sri Tommy Thomas dan Rohayu iaitu pegawai khas Peguam Negara ketika itu. Namun, rundingan ini tidak pernah menghasilkan sebarang persetujuan, “kata Chetan.

Pada prosiding sebutan kes membabitkan Chetan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Law Chin How memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi lain untuk didengar bersama kes membabitkan Rosli.

Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan 9 November ini untuk mendengar permohonan pendakwaan itu.

Selain itu semakan sistem mahkama, mendapati sebutan kes membabitkan Rosli akan didengar di hadapan Hakim K.Muniandy esok. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat