SEREMBAN – Atlet Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau mencipta sensasi apabila meleburkan rekod acara 110 meter lari berpagar lelaki bawah 18 tahun (B-18) Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) pada saingan separuh akhir Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) hari ini.
Atlet berusia 17 tahun itu mencatat masa 13.46 saat (s) sekali gus meleburkan rekod lama 13.66s dalam saingan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Malah masa yang dicatatkan pelajar Sekolah Sukan Negeri SMK Tun Hussein Onn Kluang itu turut memperbaharui rekod kejohanan iaitu 13.46s.
Bagaimanapun, Hazriq gagal mengatasi rekod itu pada saingan final apabila mencatat masa 13.51s untuk memenangi pingat emas, sekali gus meninggalkan Emad Muhaimin Nor Hasrin dari Perak yang menduduki tempat kedua (14.15s) dan Stevensie Win Anak Simon dari Sarawak (14.28s).
“Alhamdulillah, larian saya hari ini agak baik walaupun pada final tidak dapat membuat catatan yang sama seperti pada saringan, namun amat gembira kerana dapat membaharui rekod ASG dan rekod kejohanan.
“Cabaran sengit yang diberikan rakan antara faktor yang mungkin membantu saya membuat larian lebih baik selain dapat mempraktikkan teknik larian yang betul,” kata Muhammad Hazriq.
Pencapaian terbaik itu meletakkan Hazriq di kedudukan ke-13 pelari 110m lari berpagar terpantas dunia dan kedua Asia bagi kategori bawah 17 tahun.
“Syukur dengan pencapaian ini dan memang tak sangka menduduki tempat kedua terpantas Asia, namun pastinya ia menjadi perangsang untuk saya beraksi lebih cemerlang pada saingan yang lain selepas ini.
“Sasaran saya berikutnya adalah untuk mencatat masa 13.20s untuk menduduki dalam kelompok 10 pelari 110m lari berpagar remaja terpantas dunia. Saya akan cuba untuk melakukannya pada ASG di Vietnam bulan depan,” kata atlet yang pernah meraih pingat gangsa Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu.
Sementara itu, Fatin Nashira Mohd Fadzil dari Kelantan meraih emas untuk kategori wanita dengan catatan masa 15.21s.
Dia meninggal pesaing terdekat, Dhanea Marsyella Eehsan Faez Sivam dari Selangor (15.25s) yang meraih pingat perak dan gangsa pula milik atlet Sabah, Alya Amyra Hanis Hamrin (15.46s).
“Ini bukan masa terbaik kerana saya pernah melakukan 14.60s. Permulaan larian yang kurang baik mengganggu sedikit catatan hari ini, namun saya tetap gembira dengan kejayaan ini,” katanya. – BH