Mustahil Ismail Sabri mampu pengaruhi hakim

- Advertisement -

Sejak semalam tersebar poster mengenai pencapaian seratus hari Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang secara tersirat mahu mendakwa Ismail telah mencampuri urusan kehakiman dengan membebaskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan membenarkan penggunaan sementara pasport kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Persepsi yang cuba dibuat melalui poster tersebut tidak benar sama sekali. Pertama, Datuk Seri Ahmad Maslan bukan didapati tidak bersalah atau dibebaskan secara melulu seperti mana kes Lim Guan Eng.

Antara Ahmad Maslan dan Lim Guan Eng

Ahmad Maslan didakwa gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi kedua-dua pertuduhan ini pihak pendakwa sejak permulaan kes pada zaman Pakatan Harapan telah menawarkan penyelesaian luar mahkamah dalam bentuk kompaun bernilai RM1.1 juta. Tawaran terbuka oleh pendakwaraya ini tidak pernah dijawab oleh Ahmad Maslan.

Bagaimanapun mungkin melihat perubahan kepimpinan negara tidak lagi membolehkan beliau menjual naratif campur tangan kehakiman menekan ahli Parlimen Umno, Ahmad Maslan menerima tawaran kompaun tersebut pada 29 September 2021 lalu.

Hanya setelah beliau bersetuju membayar denda RM1.1 juta, baharulah pendakwaraya memohon untuk menarik balik kes.

Bagaimanapun kes Ahmad Maslan sangat jauh berbeza dengan pengguguran kes Lim Guan Eng pada 3 September 2018.

Dalam kes Lim Guan Eng,  Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Keputusan ini dibuat setelah mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, untuk menggugurkan tuduhan berkenaan. Tindakan pendakwaraya ini sangat misteri kerana tiada sebarang pengakuan bersalah mahu pun sebarang hukuman dipersetujui.

Kebenaran Mahkamah mendapatkan pasport

Kedua, dalam kes kebenaran penggunaan pasport oleh tertuduh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Rosmah Mansor ia diputuskan oleh mahkamah atas pertimbangan kesihatan.

Ahmad Zahid memohon pasportnya diserahkan pada 26 Okt ini dan akan memulangkanya pada 21 Nov depan bagi menjalani rawatan sakit belakang serta leher daripada pakar terkemuka di Munich. di Jerman.

Datin Seri Rosmah Mansor dibenarkan ke Singapura minggu depan bagi membolehkan beliau berada bersama anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak  di sebuah pusat perubatan pakar di negara itu, dua minggu lagi.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan dokumen perjalanannya yang berada dalam simpanan mahkamah selaras dengan prosedur jaminan sejak 2018, dipulangkan hari ini dan dikembalikan pada 6 Disember ini. Mahkamah turut mengeluarkan syarat bahawa isteri bekas Perdana Menteri hanya boleh memulakan perjalanan ke Singapura pada 22 Oktober dan pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November.

Kebenaran kepada kedua-dua individu ini dibuat atas ihsan mahkamah atas faktor kesihatan bukannya atas sebab-sebab politik.

Malahan menahan pasport tertuduh bukanlah sesuatu amalan wajib dalam sistem perundangan negara. Ia adalah budi bicara hakim dalam menentukan sama ada perlu atau tidak ditahan pasport tertuduh. Misalnya pasport Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah ditahan sepanjang perbicaraan kes liwat beliau antara pada 2011-2015.

Ketiga, pada hemat saya adalah mustahil Ismail Sabri yang belum begitu lama dalam kerajaan berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Najib Razak mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi para hakim atau badan kehakiman negara.

Ismail Sabri sebenarnya tidak mempunyai rangkaian berpengaruh dalam koridor kuasa negara, belum mempunyai pengaruh dan tidak pernah berada di tempat yang boleh mempengaruhi kedudukan para hakim sebelum ini.

Boleh dikatakan Perdana Menteri kesembilan ini di luar ‘circle’ badan kehakiman. Adalah sukar untuk seorang Perdana Menteri seperti Ismail untuk mempengaruhi mana-mana hakim.

Lebih penting, jawatan Perdana Menteri sahaja dalam keadaan politik hari ini tidak cukup untuk mempengaruhi keputusan hakim. Mustahil ada hakim sanggup menjejaskan kedudukan mereka dari segi etika kehakiman untuk  seorang Perdana Menteri yang juga boleh jatuh pada bila-bila masa dalam suasana politik yang tidak stabil.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat