WHO Puji Malaysia Dalam Urus Pandemik COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keupayaan besar Malaysia dalam kesiapsiagaan dan tindak balas mendepani wabak membantu mewujudkan asas yang stabil bagi tindak balas terhadap pandemik COVID-19 setakat ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo berkata ,infrastruktur dan tenaga kerja terlatih untuk menawarkan jagaan kesihatan berkualiti tinggi yang dimiliki negara ini turut menyumbang kepada perkara itu.

Dalam ruangan komentar laman sesawang WHO bertajuk “Sebuah negara bersatu mendepani pandemik”, beliau berkata, pada tahun-tahun sebelum pandemik, kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah untuk memperkukuh jaminan kesihatan Malaysia serta keupayaan tindak balas pelbagai sektor bagi kecemasan kesihatan dan kesediaan menghadapi bencana.

“Langkah-langkah ini termasuk persiapan dan penyertaan dalam Penilaian Luaran Bersama mengenai keupayaan teras Peraturan Kesihatan Antarabangsa dengan WHO pada penghujung 2019 bagi membantu mengenal pasti jurang paling kritikal di antara sistem kesihatan manusia dan haiwan serta pembendungann bahaya alam sekitar

“Pengenalpastian jurang membolehkan penyusunan keutamaan keperluan dan peluang bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas. Kesemua komponen ini memainkan peranan penting dalam tindak balas awal Malaysia terhadap pandemik,” katanya.

Dr Lo berkata, pada peringkat awal penularan wabak pada Februari 2020, Malaysia meningkatkan akses kepada pengujian berkualiti, jumlah katil bagi jagaan kritikal dan ventilator.

Perkhidmatan kesihatan dipertingkat dengan pantas bagi memenuhi permintaan baharu dan yang dijangka sambil pada masa sama kerajaan mengoperasikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di peringkat nasional dan negeri, serta menggerakkan pengambilan dan penghantaran petugas kesihatan berdasarkan kawasan yang mempunyai beban kerja yang tinggi.

Beliau berkata, Malaysia juga mengambil langkah segera untuk mengekang penularan virus termasuk dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan serta beberapa fasa dan lelarannya yang berjaya mengurangkan bilangan kes COVID-19 kepada separuh pada April.

“Susulan syor utama WHO untuk “uji, rawat dan kesan” penduduk, Malaysia melaksanakan strategi ‘kesan, uji, asing, rawat dan kuarantin” bagi mengesan kes dalam masyarakat. Ia juga melaksanakan langkah-langkah ketat berhubung kuarantin dan pengasingan kes yang disahkan dan disyaki,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Wakil WHO turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta rakan kongsi bagi menyediakan sokongan kritikal dalam bidang penyelarasan rakan kongsi, maklumat dan perancangan, kepakaran teknikal, sokongan operasi dan logistik, contohnya WHO membekalkan kit ujian awal sebelum peralatan itu tersedia secara komersial dan menyediakan protokol ujian bagi diagnosis sepanjang Mac 2020.
Dr Lo berkata, langkah-langkah signifikan diambil oleh kerajaan Malaysia bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat secara proaktif.

“Kerajaan Malaysia berusaha memastikan pendekatan menyeluruh terhadap komunikasi risiko dan penglibatan komuniti selain memupuk kepercayaan dalam kalangan penduduk.

“Sejak awal lagi kerajaan mempromosikan sumber-sumber boleh dipercayai bagi memastikan orang awam memperoleh maklumat yang tepat dan pada masanya mengenai perkembangan terkini COVID-19 serta mengimbangi risiko infodemik selain menumpukan kepada kempen media massa dan pemantauan media,” katanya.

Menurut Dr Lo, WHO juga menyokong usaha KKM untuk memvisualisasikan dan menentukan matlamat jangka panjang bagi tindak balas dan kelestarian, menyediakan garis panduan untuk mempermudah perancangan, pelaksanaan dan penilaian aktiviti.

Beliau menambah penggunaan model matematik bagi mensimulasikan dinamik penularan virus di Malaysia membantu pengunjuran senario jangkitan pada masa depan berdasarkan perubahan yang dijangka dalam pelaksanaan intervensi bukan farmaseutikal.

“Unjuran-unjuran ini membolehkan pemodel menjangkakan keperluan sistem kesihatan negara seperti hospital dan katil unit rawatan rapi sekiranya berlaku lonjakan semula jangkitan,” kata Dr Lo.
Katanya, pada masa depan, usaha-usaha nasional harus terus mendorong rakyat untuk kekal berjaga-jaga memandangkan sikap waspada dan amalan pencegahan yang berterusan hanya satu-satunya cara untuk menghentikan penularan virus hingga vaksin yang selamat dan berkesan dapat disediakan.

Dr Lo berkata, Malaysia perlu meneruskan kejayaannya sekarang dengan mengguna pakai pendekatan jangka panjang termasuk bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang kluster baharu dengan langkah-langkah bersasar dan setempat.

“WHO dan rakan kongsi akan meneruskan usaha membangunkan rawatan dan vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan selain menyelaraskan agihan yang adil ke seluruh dunia apabila semua ini tersedia kelak,” katanya.

Beliau juga berkata, semasa berusaha mengekang penularan COVID-19, Malaysia turut menghadapi wabak polio yang disahkan pada Disember 2019 dan jangkitan itu merupakan yang pertama sejak negara diisytiharkan bebas polio pada 1992.

“WHO, Unicef dan rakan kongsi lain bekerjasama dengan KKM untuk mengawal wabak menerusi pemantauan yang dipertingkat, pengesanan kes, komunikasi risiko dan penyambungan semula program pelalian … negara ini merupakan yang pertama menyambung semula kempen pelaliannya,” kata beliau.
– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat