KUALA LUMPUR – PKR Wilayah Persekutuan kecewa terhadap tindakan ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa seperti mahu memusnahkan parti itu dari dalam.
Pengerusi interimnya Datuk Azman Abidin berkata, sejak kalah jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR, Rafizi dilihat berhaluan kiri yang menghentam dan menikam parti dari belakang.
“Saya dan ahli-ahli yang lain sangat-sangat kecewa. Apa niat dia sebenarnya?
“Apakah beliau berniat menghilangkan keyakinan anggota dan rakyat kepada parti dan kerajaan?
“Saya berpandangan tingkah laku Rafizi dilihat seperti berpatah arang selepas tidak dapat menerima realiti kekalahan baru-baru ini dan matlamatnya kini adalah untuk memastikan kerajaan ini semakin lemah tanpa keberadaannya dalam parti,” lapor MalaysiaGazette, pada Rabu.
Azman yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan Rafizi itu juga jelas terpesong daripada landasan perjuangan sedia ada.
“Kalau pun ada yang tidak puas hati atau mahu kemukakan apa sahaja masalah, boleh gunakan saluran yang betul dengan menyuarakan pandangan kepada pimpinan parti dan kerajaan.
“Bagi saya, peringatan tegas perlu diberi kepada mana-mana anggota PKR yang gagal mematuhi disiplin untuk menggunakan saluran dalaman yang betul bagi kita mengelakkan kekeliruan naratif di luar sana.
“Isu-isu yang melibatkan imej institusi presiden dan pendirian parti perlu diurus dengan penuh hemah bukanlah dengan secara semberono boleh bercakap bukan-bukan tanpa mengambil kira kesannya kepada parti,” katanya lagi.
Jelas Azman lagi, sebagai bekas pemimpin kanan parti, Rafizi perlu lebih berjiwa besar dan matang dan memahami kesan terhadap kenyataan yang dikeluarkan.
“Saya ingin menasihatkan Ahli Parlimen Pandan ini bahawa dia masih anggota PKR yang tertakluk pada kod etika yang termaktub dalam perlembagaan parti dan perlu menunjukkan contoh yang baik sebagai ahli parlimen yang menyokong Kerajaan Madani.
“Secara peribadi saya percaya Rafizi masih mempunyai masa depan cerah dalam parti dan tidak perlu tergopoh-gapah serta beremosi dalam memastikan kesinambungan karier politik beliau,” katanya lapor portal itu.
Azman juga yakin rakyat sudah semakin bijak menilai segala apa yang dilakukan oleh Rafizi ini dan boleh dapatkan berita sebenar pada saluran yang betul.
Sebelum ini, Rafizi bersama lapan lagi ahli Parlimen PKR mengadakan sidang media menuntut untuk ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu kehakiman.
Tuntutan RCI adalah satu tindakan yang secara langsung mempersoalkan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR.
Biarpun isu kehakiman yang dibangkitkan Rafizi mungkin mempunyai meritnya, tetapi waktu dan cara ia diutarakan adalah sangat tidak wajar.
Tindakan ini disifatkan sebagai ‘menyerang’ dari belakang ketika Anwar sibuk dengan urusan negara dan lawatan antarabangsa, menyebabkan kerajaan Madani kelihatan goyah.



