CYBERJAYA – Kerajaan bakal memperkenalkan Sistem Amaran Awal (EWS) baharu yang membolehkan amaran kecemasan dihantar secara terus kepada telefon bimbit penduduk di kawasan berisiko bencana tanpa memerlukan sebarang aplikasi tambahan atau pendaftaran.
Sistem yang sedang dilaksanakan secara berfasa itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS), yang membolehkan amaran dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi tertentu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, pelaksanaan EWS bertujuan memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana.
Melalui teknologi berkenaan, orang ramai yang berada dalam kawasan dikenal pasti boleh menerima amaran kecemasan secara langsung menerusi telefon bimbit masing-masing tanpa perlu memuat turun aplikasi, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus.
Bagaimanapun, penerimaan amaran tertakluk kepada keserasian peranti dan sistem operasi telefon yang digunakan.
Menurut MCMC, pengguna iPhone perlu menggunakan sekurang-kurangnya model iPhone 11 dengan sistem operasi iOS 27.2 atau versi terkini.
Bagi pengguna Android pula, telefon perlu menggunakan Android 12 atau versi lebih baharu, manakala peranti Huawei memerlukan EMUI 16 atau versi terkini.
Keperluan minimum itu masih tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.
Sehubungan itu, MCMC menyeru orang ramai supaya mengemas kini sistem operasi telefon masing-masing, memulakan semula peranti selepas proses kemas kini serta memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC hari ini mengadakan sesi taklimat khas bersama Ketua-Ketua Pengarang media di Cyberjaya bagi memperkenalkan sistem EWS dan menjelaskan mekanisme penyampaian amaran kecemasan kepada masyarakat.
Taklimat berkenaan turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman yang dilaksanakan di bangunan MCMC.
MCMC menjelaskan bahawa ujian pada 19 November itu hanya bertujuan menilai kesiapsiagaan dan keberkesanan sistem sebelum pelaksanaannya diperluaskan secara berfasa.
Penjelasan tersebut turut dibuat susulan penularan dakwaan di media sosial dan aplikasi WhatsApp kononnya ujian amaran kecemasan akan dilaksanakan hari ini di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang.
MCMC menegaskan bahawa tiada ujian amaran kepada orang awam dijalankan di negeri-negeri berkenaan hari ini.
Pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Sistem baharu itu akan melengkapi saluran amaran bencana sedia ada, sekali gus membantu pihak berkuasa menyampaikan maklumat kecemasan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan. – Suara.TV


