KUALA LUMPUR – Pas didakwa tiada apa yang boleh dipelajari daripada Barisan Nasional (BN) selain ‘seni sakau’ berbanding Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan mempunyai rekod prestasi cemerlang, khususnya dalam pengurusan ekonomi dan diplomasi antarabangsa.
Oleh itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, Pas sepatutnya memilih untuk bersama PH dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mahu meningkatkan keupayaan pentadbiran, bukannya bergandingan dengan BN.
Khalid berkata, pandangan itu turut selari dengan penilaian bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Dr Rosli Yaakob yang melihat prestasi kerajaan pimpinan Anwar sebagai memberangsangkan.
“Dia (Rosli) sebagai pakar ekonomi, dia menilai prestasi kerajaan PMX sangat memberangsangkan dan atas dasar prestasi, maka PAS sepatutnya bersama dengan PH dan PMX, bukan dengan BN.
“(Kerana) kalau bersama dengan BN, tak ada benda yang boleh belajar kecuali seni sakau,” katanya memetik Harian Metro di Kelantan pada Rabu.
Mengulas pendirian Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan parti itu akan kekal bersama BN, Khalid mempersoalkan alasan di sebalik pilihan berkenaan.
Katanya, terdapat dua kemungkinan Pas memilih BN, iaitu mahu mempelajari ‘seni sakau’ atau atas dasar asabiyah Melayu Islam.
“Namun kedua-dua pun tidak munasabah dan menghilangkan jati diri Pas itu sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Amanah perlu berdepan realiti baharu susulan kemungkinan gandingan BN-Pas yang boleh memberi cabaran besar kepada parti itu dalam pilihan raya.
Beliau mengakui penyatuan undi penyokong tegar Umno dan Pas menyukarkan peluang Amanah untuk menang, khususnya di kawasan majoriti Melayu.
“Apabila undi Pas dengan Umno disatukan maka memang sukar untuk Amanah menang kerana kita bertanding di kawasan majoriti Melayu,” katanya.



