Tanpa permit berhimpun, polis kini berdepan kesulitan – Menteri KDN

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan penganjur tidak lagi diwajib memaklumkan kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan, meletakkan pihak berkuasa dalam keadaan sedikit sulit.

Menjelang perhimpunan #TurunAnwar yang bakal berlangsung 26 Julai ini, beliau menegaskan polis akur dengan keputusan terbabit, namun memberi implikasi kepada keupayaan pihak berkuasa itu untuk merancang kawalan keselamatan dalam konteks jumlah kehadiran dan keperluan logistik.

“Kalau hendak tanya apakah keputusan itu meletakkan polis dalam keadaan sulit? Memang sulitlah. Dahulu, bila penganjur diwajibkan maklum, polis boleh rancang dari segi penugasan anggota, bukan untuk menyekat (perhimpunan), tetapi untuk ‘facilitate’ (memudahkan).

“Sekarang, bila tak perlu maklum, kita terpaksa guna segala sumber sedia ada untuk sesuaikan (rancangan kawalan),” katanya pada sidang media di sini selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya lapor BH pada Selasa.

Saifuddin Nasution bagaimanapun menegaskan, biarpun Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan keperluan notis diisytihar tidak berperlembagaan, sebahagian besar peruntukan lain masih berkuat kuasa dan wajib dipatuhi penganjur serta peserta.

“Tanggungjawab penganjur masih kekal, tanggungjawab peserta juga kekal. Larangan bawa senjata, larangan bawa kanak-kanak, larangan ucapan yang menghasut sentimen perkauman atau menyentuh institusi diraja, itu semua masih sah dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa polis menyekat hak rakyat untuk berhimpun, sebaliknya menegaskan kerajaan konsisten dalam menghormati kebebasan bersuara.

“Kerajaan ini tak pernah sekat himpunan. Tapi kita minta kerjasama. Jangan cetus provokasi, jangan langgar undang-undang. Kalau bawa kanak-kanak, kemudian kena tindakan, jangan salahkan polis,” katanya.

Justeru, beliau berharap semua pihak menghormati keseimbangan antara hak berhimpun dan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam, sambil memberi jaminan bahawa polis akan terus bertindak secara profesional dalam mengendalikan sebarang perhimpunan awam.

Sementara itu, Saifuddin memohon semua pihak menghormati proses lantikan hakim atasan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutama membabitkan peranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Beliau menegaskan, tiada keperluan membuat untuk mana-mana pihak membuat tohmahan tidak berasas sebelum keputusan Majlis Raja-Raja membuat keputusan.

“Sekarang hal yang menjadi tumpuan rakyat seluruh negara adalah mengenai kekosongan (jawatan) Ketua Hakim Negara, dalam Perlembagaan ada dijelaskan Perkara 122(b) mengatakan Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Tiga perkara itu sudah pun disebut dalam Perlembagaan, jadi tidak perlulah ada ‘prejudge’ (kesimpulan awal), tohmahan lain mendakwa Perdana Menteri, (kuasa) eksekutif campur tangan dan sebagainya. Tidak ada keperluan itu lagi , hormatlah proses,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat