Apbila lima suara bersatu, Konsert ‘A Night Of Soul’ bakal hidupkan seribu kenangan

Setiap suara mempunyai keistimewaan tersendiri. Ada yang mampu membangkitkan nostalgia, ada yang menusuk jauh ke ruang emosi, malah ada juga yang cukup dengan satu lantunan untuk membuatkan pendengar terdiam menghayati setiap bait lagu.

Mengangkat keindahan muzik sebagai bahasa yang menyatukan perasaan dan generasi, konsert A NIGHT OF SOUL bakal menghimpunkan lima penyanyi hebat dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah persembahan istimewa pada 12 Disember 2026 di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines.

Menampilkan penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan sebagai artis utama, konsert anjuran Starlika dan Astana Global itu turut menggabungkan empat figura muzik tanah air iaitu Datuk Ziana Zain, Datuk Amy Search, Khai Bahar dan Siti Nordiana.

Gabungan lima nama ini pastinya memberikan warna tersendiri memandangkan setiap seorang memiliki perjalanan seni, identiti muzik dan kekuatan vokal yang cukup berbeza. Lebih menarik, pertemuan mereka dalam satu pentas membuka ruang kepada peminat menikmati kepelbagaian genre muzik yang selama ini menjadi sebahagian daripada kehidupan dan kenangan masing-masing.

Cakra Khan yang terkenal dengan suara serak dan penuh penghayatan pastinya membawa keistimewaan tersendiri menerusi persembahan yang sarat dengan emosi. Karakter vokalnya yang cukup kuat menjadikan setiap lagu seolah-olah mempunyai cerita yang ingin disampaikan, sekali gus membuatkan pendengar mudah larut dalam suasana.

Tidak kurang hebatnya, Datuk Ziana Zain yang sekian lama menjadi antara penyanyi wanita yang disegani dalam industri muzik tempatan. Keunggulan vokalnya serta pengalaman luas di pentas persembahan pastinya menjadi antara tarikan utama, lebih-lebih lagi buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu malar segarnya.

Kehadiran Datuk Amy Search pula pastinya memberikan suntikan berbeza menerusi aura rock yang cukup sinonim dengan dirinya. Sebagai antara figura penting dalam muzik rock tempatan, kehadirannya dijangka menghidupkan suasana dengan persembahan penuh tenaga dan karakter yang sukar ditandingi.

Sementara itu, Khai Bahar membawa sentuhan generasi baharu dengan kemerduan suara yang dekat di hati peminat muzik balada. Keupayaannya menyampaikan lagu-lagu beremosi menjadikan setiap persembahan mempunyai daya tarikan tersendiri, khususnya dalam kalangan pendengar yang menggemari melodi cinta dan kisah kehidupan.

Melengkapkan barisan tersebut ialah Siti Nordiana yang cukup dikenali menerusi suara lembut serta lagu-lagu berentak balada dan irama yang dekat dengan jiwa masyarakat. Keistimewaannya dalam menyampaikan lagu-lagu penuh perasaan pastinya memberikan satu lagi dimensi kepada keseluruhan persembahan.

Apa yang menarik mengenai A NIGHT OF SOUL ialah pertemuan lima penyanyi ini bukan sekadar menghimpunkan nama-nama besar dalam satu acara, sebaliknya meraikan keunikan setiap suara tanpa perlu mengetepikan identiti muzik masing-masing.

Perbezaan generasi dan genre yang dibawa juga menjadikan konsert ini mempunyai daya tarikan tersendiri. Peminat muzik rock, balada mahupun lagu-lagu romantis berpeluang menikmati sebuah persembahan yang menyatukan pelbagai cita rasa dalam satu malam.

Menurut pihak penganjur, Starlika dan Astana Global, penganjuran konsert ini bertujuan meraikan keunikan serta kekuatan vokal setiap penyanyi, selain memberikan peluang kepada peminat untuk menikmati pesona dan jiwa sebenar setiap artis menerusi sebuah persembahan istimewa.

Selari dengan slogan *Where Every Voice Has a Soul, and Every Soul Has a Story*, konsert ini membawa mesej bahawa setiap suara mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsikan. Muzik pula menjadi penghubung yang mampu menyatukan manusia tanpa mengira usia, latar belakang mahupun generasi.

Bagi mereka yang ingin menjadi sebahagian daripada malam penuh kenangan ini, tiket ditawarkan menerusi tujuh kategori iaitu Pearl pada harga RM188, Gold (RM288), Ruby (RM388), Platinum (RM488), Diamond (RM588), VIP (RM688) dan VVIP (RM888).

Tiket boleh didapati secara dalam talian menerusi www.ticketmelon.com.

A NIGHT OF SOUL dijadual berlangsung pada Sabtu, 12 Disember 2026 di MIECC, The Mines. Ia bukan sekadar peluang menyaksikan lima penyanyi hebat berkongsi pentas, tetapi juga kesempatan untuk mengimbau kenangan menerusi lagu-lagu yang pernah menjadi teman dalam pelbagai fasa kehidupan.

Kerana ada suara yang mengingatkan kita kepada cinta, ada melodi yang membawa kembali kenangan lama dan ada lagu yang seolah-olah memahami perasaan tanpa perlu kita bercerita.

Pada malam itu, lima suara bakal membawa lima jiwa dan menyampaikan seribu cerita dalam sebuah pengalaman muzik yang istimewa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat