KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menyambut baik cadangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, agar sayap pemuda MCA dan UMNO mengukuhkan komunikasi serta menyelesaikan perbezaan pandangan secara berhemah berhubung cadangan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT).
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan merangkap Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan Mike Chong Yew Chuan berkata, pihaknya sedia menggunakan saluran dalaman BN untuk berbincang dengan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh, mengenai usul Pemuda MCA supaya pilihan raya PBT dimulakan di Wilayah Persekutuan.
“Kami menghormati pandangan Akmal, namun kerana isu ini merupakan usul yang telah dibawa dalam Perhimpunan Agung Pemuda MCA, maka kami juga bersedia membawanya untuk dibincangkan di peringkat dalaman BN,” katanya dalam kenyataan.
“Saya berharap dapat berkongsi pandangan kami dan membincangkan hak warga Wilayah Persekutuan untuk memilih wakil bagi membawa suara mereka dalam urusan hal ehwal perbandaran,” katanya.
Mike berkata, penduduk Kuala Lumpur ketika ini hanya boleh memilih wakil di peringkat Parlimen, sedangkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian seperti banjir, kesesakan lalu lintas, kutipan sampah dan pembangunan bandar kebanyakannya diputuskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Jika ada wakil kerajaan tempatan yang dipilih oleh rakyat, mereka perlu bertanggungjawab secara terbuka terhadap keputusan, perbelanjaan dan projek yang dilaksanakan. Pada masa sama, pengundi KL juga boleh menilai prestasi mereka melalui pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya.
Pemuda MCA mencadangkan pelaksanaan pilihan raya PBT dimulakan di Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur, termasuk pemilihan Ahli Majlis dan Datuk Bandar secara demokratik.
Menurut Mike, pembaharuan itu perlu disertai dengan ketelusan belanjawan, kelulusan pembangunan dan perundingan awam yang lebih bermakna, di samping mekanisme pemantauan bebas yang berkesan.
“Fokus isu pilihan raya kerajaan tempatan adalah untuk memberi kuasa kepada rakyat tanpa mengira kaum untuk memilih wakil mereka sendiri, mengambil bahagian dalam pentadbiran bandar dan memantau kerajaan tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan, cadangan Akmal supaya MCA bertanding di kawasan bandar sahaja merupakan isu berasingan dan boleh dibincangkan dalam BN.
Perbezaan itu berlaku selepas Pemuda MCA meluluskan resolusi menggesa kerajaan menghidupkan semula pilihan raya PBT, bermula di Wilayah Persekutuan, pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA. Akmal bagaimanapun menolak cadangan tersebut dan menegaskan pendirian Pemuda MCA tidak mewakili pendirian Pemuda UMNO mahupun Pemuda BN.
Zahid kemudiannya menasihati Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon, dan Akmal supaya menyelesaikan perselisihan terbuka mereka, dengan mengingatkan bahawa kedua-dua sayap itu adalah “adik-beradik” dalam BN.
Pemuda MCA turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dan DAP menjelaskan pendirian mereka berhubung isu tersebut, termasuk status kajian kebolehlaksanaan pilihan raya PBT yang diumumkan pada Disember 2025.
“Ini termasuk penjelasan mengenai proses perundingan awam yang dilaksanakan, serta bagaimana kerajaan bercadang menangani isu perundangan dan pentadbiran yang berkaitan dengan pelaksanaan dasar tersebut,” katanya.
Kajian kebolehlaksanaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur, termasuk pemilihan Datuk Bandar, dilaporkan dijalankan sejak Disember 2025 oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).



