Persembahan di pusat suntik vaksin jadi talian hayat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andai tidak kerana cinta dan minat yang mendalam terhadap dunia seni, sudah lama pemuzik berpengalaman, Kudin Ramly ‘cuci tangan’ dan beralih kepada bidang lain yang lebih menjamin masa depan.

Pemain keyboard kumpulan popular era 1980-an, Headwind ini mengaku menjadi antara penggiat seni yang terkesan akibat hilang pekerjaan atau ‘job’ sejak penularan pandemik COVID-19, tahun lalu.

Berkongsi pengalaman menyedihkan itu, Kudin memberitahu, untuk meneruskan kehidupan, dia melakukan pelbagai kerja termasuk berniaga dan mendapat ihsan insan terdekat dalam menyara hidup.

“Sejak COVID-19 melanda setahun lalu, saya hilang punca pendapatan apabila kerajaan melarang acara persembahan terbuka diadakan.

“Sebagai pemuzik, kita mencari rezeki dengan membuat persembahan di kelab, konsert dan sebagainya. Apabila situasi ini berlaku secara tiba-tiba, kesannya agak perit.

“Selama setahun tidak bekerja, pendapatan saya semakin merosot. Keadaan ini boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

“Untuk meneruskan kelangsungan hidup, saya buat pelbagai kerja termasuk berniaga. Mujur ada saudara mara dan kawan yang menghulur bantuan untuk meringankan beban ditanggung.

“Kalau pemuzik muda, mereka mungkin boleh bertukar kerjaya. Namun, bagi saya, di mana muzik sudah sekian lama berakar umbi dalam diri, mahu atau tidak, terpaksa terus mencari rezeki dalam bidang ini,” luahnya kepada BH Online.

Lebih menyentuh hati pemuzik ini apabila ramai rakan seperjuangan tewas dan meninggalkan bidang yang menjadi sumber rezeki mereka demi jaminan masa depan.

“Saya tahu ramai kawan cuba bertahan. Namun, akhirnya, kecundang. Ada yang membuat kerja di luar bidang seperti menjadi tukang masak.

“Tersentuh hati saya apabila mendengar keluhan mereka. Macam saya, ketika mula-mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya sangat sedih dan tidak tahu hendak buat apa.

“Namun, perasaan itu saya tidak pendam lama. Sampai bila kita hendak terus bersedih atau menyalahkan mana-mana pihak.

“Justeru, saya cuba bangkit dan melihat apa yang berlaku itu dari sudut positif,” katanya.

 

Pemain keyboard kumpulan popular era 1980-an, Headwind, Kudin Ramly tidak bekerja selama setahun apabila kerajaan melarang acara persembahan secara terbuka. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Pemain keyboard kumpulan popular era 1980-an, Headwind, Kudin Ramly tidak bekerja selama setahun apabila kerajaan melarang acara persembahan secara terbuka. – NSTP/Fariz Iswadi Ismail

 

Ternyata doa Kudin dijawab Tuhan apabila diberi peluang menjayakan program persembahan pemuzik iringan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, sejak kelmarin.

Berpegang matlamat menghiburkan rakyat yang menanti suntikan vaksin COVID-19 dan memberi pekerjaan kepada pemuzik, projek persembahan berkonsep instrumental itu dianjurkan Persatuan Pemuzik Malaysia (PPM) dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain PPV KLCC, projek perintis itu juga dilaksanakan di PPV Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Mengulas mengenai tawaran membuat persembahan di PPV KLCC, Kudin menganggap ia sebagai talian hayat buat pemuzik dan isyarat masih ada harapan untuk industri muzik kembali menyinar.

“Sudah lama tidak beraksi di tempat terbuka. Apabila peluang ini datang, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.

“Saya melihat program ini mampu membantu pemuzik bernafas semula. Malah, ia seakan memberi nyawa baharu kepada industri muzik,” katanya.

Berharap program PPM ini diteruskan, Kudin meminta pemuzik, terutama yang terkesan dengan impak penularan COVID-19 menyertai persatuan.

“Nasib pemuzik akan terbela terutama dalam detik sukar seperti ini. Kelompok kita ini hanyalah segelintir dalam industri.

“Justeru, saya merayu rakan pemuzik agar sertai persatuan. Kita tidak mampu berjuang sendirian. Kita perlu bersama untuk menghadapi situasi ini.

“Apabila bergabung dan bersatu, baru orang industri pandang kita. Pesan saya, kita kena kuat dan terus berjuang demi muzik yang tercinta,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PPM merangkap Ketua Projek Persembahan Pemuzik Iringan di PPV KLCC dan Stadium Nasional Bukit Jalil, Haniah Hassan, berkata seramai 42 pemuzik terpilih dalam projek perintis itu.

“Berikutan ini projek perintis, kami hanya pilih pemuzik berpengalaman bagi memastikan persembahan lancar.

“JKJAV dan MOTAC mahu melihat keseluruhan persembahan dan kesesuaian mengikut situasi semasa. Jika projek ini mendapat maklum balas baik, ia akan diteruskan sehingga akhir tahun ini.

“Justeru, kita hanya pilih alat muzik yang sesuai, bukan instrumen yang ditiup kerana pemuzik perlu memakai pelitup muka demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Setiausaha Kehormat PPM merangkap Ketua Projek Persembahan Pemuzik Iringan di PPV KLCC dan Stadium Nasional Bukit Jalil, Haniah Hassan memberitahu seramai 42 pemuzik terpilih dalam projek perintis itu. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Setiausaha Kehormat PPM merangkap Ketua Projek Persembahan Pemuzik Iringan di PPV KLCC dan Stadium Nasional Bukit Jalil, Haniah Hassan memberitahu seramai 42 pemuzik terpilih dalam projek perintis itu. – NSTP/Fariz Iswadi Ismail

 

Mengenai bayaran, Haniah berkata, ganjarannya setipal mengikut situasi semasa.

“Persembahan dibahagikan kepada dua sesi setiap hari. Setiap sesi ada dua set. Bagi pemuzik yang membuat persembahan untuk satu sesi yang mengambil masa dua jam, mereka dibayar RM250.

“Mereka yang memilih membuat dua set persembahan, mereka dibayar sebanyak RM500. Pemuzik boleh pilih sama ada mahu beraksi secara solo atau duet,” katanya.

Haniah bersyukur pemuzik dapat beraksi di PPV selepas 18 bulan terputus mata pencarian.

“Apabila ada kerja, sekurang-kurangnya ada sumber kewangan untuk mereka menampung keluarga.

“Saya menangis dua minggu mengenangkan nasib mereka yang mengadu berdepan pelbagai masalah, termasuk hal keluarga apabila tiada kerja,” katanya.

Haniah berkata, pemuzik yang ingin menyertai program itu boleh menghubungi PPM untuk mendapatkan keterangan lanjut.

“Disebabkan program ini mungkin dilanjutkan hingga akhir tahun, kami memerlukan ramai pemuzik. Bagaimanapun, mereka perlu menjadi ahli PPM terlebih dahulu,” katanya.

PPM ditubuhkan pada 4 Mei 2019. Memiliki 1,200 pemuzik berdaftar di seluruh Malaysia.

Idea tercetus selepas Naib Presiden PPM, Edwin Nathaniel menonton video persembahan pemuzik Thailand di pusat vaksin di Bangkok.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat