Vaksin keluaran tempatan sedang dibangunkan UM, UPM – KJ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 tempatan menerusi MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF), kata menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu menjelaskan sedemikian bagi menjawab persoalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang pengeluaran vaksin Covid-19 tempatan.

Khairy dalam kenyataan berkata, dua kumpulan penyelidik yang dibiayai MOSTI adalah daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Khairy juga mengakui negara tidak mempunyai fasiliti lengkap bagi pembuatan vaksin.

“Justeru, dalam rundingan pembelian vaksin Covid-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar mempersoalkan mengapa Malaysia belum mula meneroka pengeluaran vaksin Covid-19 sendiri dan sama ada usaha secukupnya dilakukan untuk menjadikannya kenyataan.

Menurut Anwar, kerajaan sebelum ini menyatakan pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan mereka dengan Malaysia apabila negara memeterai perjanjian untuk membeli produk mereka.

Khairy turut menafikan andaian Anwar bahawa kerajaan tidak memberi perhatian kepada vaksin Rusia, Sputnik V.

“Ini adalah tidak benar memandangkan vaksin Sputnik V sememangnya terdapat dalam portfolio pemberian vaksin Covid-19 negara dan ketika ini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran,” katanya.

Mengulas isu 1.4 juta pengguna aplikasi MySejahtera yang masih tidak melengkapkan pendaftaran mereka untuk mendapatkan vaksin, seperti yang dibangkitkan Anwar, Khairy berkata mesej pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada pengguna-pengguna ini untuk meminta mereka melengkapkan penilaian vaksinasi supaya temujanji boleh ditetapkan.

“Berkenaan pendaftaran berkali-kali pula, seperti mana yang saya telah nyatakan, MySejahtera sememangnya mempunyai rekod ketika pendaftaran vaksinasi kali pertama dibuat, justeru pengguna sebenarnya tidak perlu membuat pendaftaran berulang,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pagi ini menggesa rakyat segera mendaftar diri mereka melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau juga mencadangkan supaya proses pendaftaran untuk vaksin dipermudah, “memandangkan ia terlalu rumit dengan borang dan semakan,” kata beliau.

“Saya juga harap rakyat sedar akan kepentingan vaksin dan tingkatkan pembacaan tentangnya. Penting untuk kita keluar dari zaman sakit ini dan seterusnya dapat membina serta memulihkan ekonomi kita,” ujar Khairy. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat