KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengulang kenyataannya sebelum ini untuk sedia memberikan kerjasama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan dalam membantu menangani isu-isu berkaitan negara dan rakyat.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, kerajaan perlu lebih berani pada ketika ini memandangkan kerajaan telah menandatangani MOU kerjasama dengan pembangkang untuk menerokai dan mengambil kesempatan dalam dunia norma baharu ini dengan melaksanakan langkah-langkah lebih inovatif dalam norma baharu ini bagi memulihkan ekonomi.
Najib berkata, Malaysia perlu melaksanakan visi yang lebih relevan termasuk yang boleh menarik minat pelaburan antarabangsa dan mempercepatkan projek-projek infra rakyat yang memberi peluang pekerjaan baru berpendapatan tinggi.
Untuk memaklumkan kepada dunia bahawa ‘Malaysia is Back’,” kata Najib ketika membahaskan titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pada Rabu.
Menurut beliau, dari segi fiskal kerajaan, defisit bajet telah dinaikkan dua kali dan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini telah dipotong hampir separuh dari 7 peratus ke 3.5 – 4 peratus iaitu di bawah pada taraf kadar purata pertumbuhan ekonomi dunia dan ekonomi Malaysia dari segi nilai KDNK nya masih rendah berbanding nilai KDNK tahun 2019.
“Hutang kerajaan pula dijangka akan benar-benar mencecah RM1 trilion pada akhir tahun ini berbanding RM687 bilion pada akhir tahun 2017 sebelum PRU14 – kenaikan melebihi 47 peratus ataupun RM310 bilion yang amat laju sekali sejak PRU14 pada ketika saiz ekonomi negara sedang menguncup.
“Keadaan kritikal fiskal dan ekonomi negara ini boleh dilihat dari prestasi bursa saham Malaysia yang menjadi paling teruk di Asia Pasifik, dan kedua tercorot di dunia selepas Venezuela pada separuh pertama tahun 2021 akibat pengaliran keluar dana asing setiap tahun yang tak henti-henti sejak PRU14.
“Sebagai perbandingan betapa jauh kita sudah undur ke belakang berbanding dunia, nilai indeks Dow Jones USA telah naik 42 katanya. dari 24,000 point pada bulan April 2018 sebelum PRU14 ke lebih 34,500 point semalam. Namun bagi tempoh yang sama, indeks Bursa Malaysia yang pernah digelar sebagai pasaran saham paling lama menaik dalam dunia ataupun “world’s longest bull-run market” sebelum PRU14 pula jatuh 20 peratus dari hampir 1,900 point ke 1,550 semalam,” jelas Najib.
Bagaimanapun menurut beliau, selepas pertukaran kerajaan ada sedikit pemulihan di mana Bursa Malaysia naik 100 mata setelah keyakinan pelabur asing mula kembali kukuh setelah mencatat pengaliran masuk dana asing bagi 5 minggu berturut. Akan tetapi, prestasi pasaran saham kita masih antara yang terbelakang dalam dunia bagi tahun ini.
Sebab itu katanya, pendekatan yang telah digunakan oleh kerajaan perlu berubah dan kita jangan gunakan pendekatan yang telah terbukti gagal seperti sebelum ini. Kerajaan baru bermaksud perlu menggunakan pendekatan baru untuk kembali pulih.
“Saya sebenarnya agak berpuas hati dengan perkembangan-perkembangan ini. Ini adalah tanda-tanda yang menggalakkan dalam pembaharuan. Namun kita sudah boleh melihat perkembangan dan pembaharuan pendekatan ini, di mana MOU kerjasama politik dengan pihak pembangkang yang telah dipersetujui.
“Selain itu, keinginan kerajaan untuk menaikkan sekali lagi had hutang kerajaan ke 65 peratus bagi membuka ruang lebih besar untuk membantu rakyat serta pelaksanaan moratorium pinjaman tanpa faedah bagi golongan B50 telah pun diumumkan oleh Kementerian Kewangan semalam biarpun sebelum ini ia dikatakan sesuatu yang mustahil. Alhamdulillah, ianya dapat dilaksanakan di bawah kepimpinan baharu. Dan saya berharap ianya akan diperluaskan dengan melibatkan SMEs juga,” ujarnya.
Pun begitu, kata beliau, keadaan pandemik COVID-19 yang merungsingkan sekarang serta norma baharu yang dipratikkan di negara kita juga membuka jalan bagi pembaharuan ekonomi yang lebih inovatif dan berani.
Realitinya jelas Najib, pasaran saham Malaysia adalah di bawah nilai (under valued) berbanding negara-negara lain pada ketika ini juga bermaksud kita ada peluang untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia turut terlibat bersama-sama dalam pemulihan ekonomi kita.
“Pada ketika ini harga saham berada pada paras yang rendah, yang bermaksud ada banyak syarikat membayar dividen yang lebih tinggi berbanding kadar faedah bank.
“Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan boleh memperkenalkan program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai 70% daripada pembelian saham bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang dibenarkan.
“Ini samalah seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi. Rakyat mampu membina kekayaan apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah.
“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, lebih menarik dan lebih merangsang perhatian pelabur ( we must make our stock market more dynamic, appealing and exciting),” katanya.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil kata Najib, termasuk menggantung sekali lagi dengan izin ‘regulated short selling’ serta ‘script borrowing and lending’ sekurang-kurangnya selama 6 bulan seperti dilaksanakan tahun lepas untuk menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit.
“Kita juga perlu mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai. Saya mendapat maklumat bahawa tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini memakan masa terlalu lama dan ini menjadi penghalang bagi syarikat-syarikat tersenarai tempatan untuk bergerak dengan lebih laju bagi aktiviti-aktiviti perkembangan perniagaan mereka. Jadi, proses ini perlulah disegerakan dan dipermudahkan.
“Selain ini, langkah yang boleh menaikkan aliran tunai dalam ekonomi termasuk ialah cadangan i-Survive yang diilhamkan saya,” katanya.
Selain itu katanya, satu hakikat yang perlu disedari, ekonomi negara tidak akan dapat dipulihkan selagi kita tidak mampu mengawal COVID-19. Selagi kes baru masih tinggi, rakyat tidak akan berasa selamat untuk berbelanja, akan kurang minat untuk melabur biarpun kadar vaksinasi adalah tinggi.
“Namun, lockdown berbulan-bulan lamanya bukan lagi jalan penyelesaian.
“Perlu tahu bahawa 4 bulan 4 hari lockdown sebelum ini yang bermula pada 12 Mei lalu adalah satu tempoh yang begitu panjang, jadi macam mana perniagaan boleh bertahan begitu lama?
“Peluang untuk sekali lagi melaksanakan total lockdown yang amat ketat seperti semasa PKP 1.0 tahun lepas sudah berlalu, apabila peluang itu dipersia-siakan oleh kerajaan dahulu yang membuat PKP 2.0 dan PKP 3.0 separuh masak.
“Namun dengan kelonggaran dan pembukaan semula ekonomi baharu-baharu ini, ada kemungkinan bahawa keadaan COVID-19 akan bertambah lagi parah,” katanya.
Najib memberitahu, sekiranya kes meningkat semula sehingga kadar jumlah katil di ICU melebihi 85 peratus bagi mana-mana negeri, saya cadangkan sekatan pemutus litar, ‘circuit breaker’ atau lockdown paling ketat dan singkat selama antara 5 hingga 7 hari sahaja dengan jaminan ianya tidak akan dilanjutkan.
“Jangan lagi dibuat lockdown berbulan-bulan lamanya tetapi kita juga perlu terus mengawal keadaan COVID-19 untuk menjaga keadaan Covid Malaysia dan kesihatan rakyat.
“Ramai yang memberi cadangan kepada kerajaan bagaimana mahu membelanjakan peruntukan dalam menangani COVID-19. Bagaimanapun, saya dapati kurang yang mencadangkan bagaimana kerajaan boleh memperoleh hasil atau pendapatan kepada negara. Hakikatnya untuk menjamin kelangsungan sebuah kerajaan dan ekonomi adalah amat penting mengimbangkan antara perbelanjaan dengan hasil.
“Oleh itu, saya juga ingin mencadangkan kerajaan memperkenalkan pakej Cukai Pemulihan COVID-19 sementara selama dua tahun. Contohnya seperti cukai durian runtuh, cukai pembangunan kondo mewah, cukai duti stamp transaksi pertukaran harta dan juga perdagangan saham, kenaikan cukai peribadi kepada golongan berpendapatan paling tinggi.
“Pakej Cukai Pemulihan COVID-19 ini adalah untuk sesuatu tempoh yang terhad sahaja sehingga 2 tahun lamanya ataupun sehingga ekonomi dan fiskal kerajaan telah memulih.
“Saya juga mencadangkan kerajaan menuntut perkongsian hasil untung yang diperolehi industri perkhidmatan atas talian dari syarikat-syarikat gergasi antarabangsa seperti Amazon, Netflix, Youtube, Google, Facebook yang selama ini mengaut keuntungan tetapi tidak pernah dicukai oleh negara. Ini bukan perkara baru, negara lain seperti Australia dan Indonesia pernah menuntut dan dibayar oleh syarikat-syarikat tersebut,” syor beliau.
Najib mengemukakan satu lagi contoh bagaimana kerajaan boleh mendapatkan pendapatan ialah dengan menjual sebahagian saham dalam syarikat Digital Nasional Berhad yang sedang membina infrastruktur 5G di negara ini.
“Penjualan ini boleh dibuat kepada syarikat-syarikat telco tempatan untuk menjana pendapatan negara serta mengurangkan beban perbelanjaan bagi projek yang bernilai RM15 bilion ini.
“Realitinya di negara kita, bilangan pekerja asing adalah tinggi sama ada mempunyai permit atau sebaliknya. Sehubungan itu, saya mencadangkan semua warga asing termasuk pembantu rumah ini dipastikan mengambil vaksin penuh bagi memastikan Covid-19 tidak menular. Jika tidak, ia akan menular semula. Covid-19 tidak memilih sama ada seseorang itu warga asing atau rakyat tempatan.
“Oleh itu, saya mencadangkan tempoh selama 4 bulan kepada semua warga asing yang berada di Malaysia mengambil peluang mendapatkan vaksinasi. Beri masa pada mereka. Sekiranya selepas itu, masih ada yang enggan mengambil vaksin, tindakan tegas perlu diambil termasuk menghantar mereka pulang ke negara asal.
“Selepas tempoh 4 bulan ini juga, majikan yang masih menggunakan pekerja asing tanpa vaksinasi penuh perlu dikenakan hukuman berat penjara mandatori.
“Selagi penularan COVID-19 dalam kalangan komuniti warga asing tidak terkawal, negara tidak selamat.
“Apa yang saya gariskan dalam ucapan hari ini adalah antara cadangan-cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan demi pemulihan negara serta aset rakyat, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia.
“Pokoknya rakyat mengharapkan pembaharuan berani dari kerajaan baru di bawah kepimpinan Perdana Menteri dari Bera. Justeru, kerajaan mesti lebih berani dan bergerak lebih laju bermula sekarang,” tegas Najib.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara ini. Sesungguhnya, Sabah dan Sarawak amat dekat di hati beliau.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” ucap Najib.
Najib turut merakamkan al-fatihah dan takziah kepada semua mangsa COVID-19 di negara kita yang sehingga 13 September 2021 telah berjumlah 21,124 kematian.