Bersatu gerak dulu, PN belum mesyuarat gerak kerja PRN Johor – Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Bersatu mengambil keputusan bergerak dahulu bersama parti komponen lain dan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) berikutan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) belum bermesyuarat merangka pergerakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti tidak boleh menunggu isyarat Pas kerana sebarang kelewatan berisiko memberi ruang pihak lawan mendapat kelebihan.

Katanya, PN yang dipengerusikan Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, belum memanggil mesyuarat gerak kerja jentera untuk PRN16 Johor sehingga kini, walaupun sudah lebih dua minggu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Bersatu sudah menggerakkan jentera dan turun padang, malah Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mulai menjelajah ke seluruh Johor dan Negeri Sembilan.

“Kita bergerak bersama parti komponen lain dan jika PN masih berteka-teki dan belum mengambil ketetapan sehingga boleh memberi ruang kepada pihak lawan, itu cara mereka.

“Kita tidak boleh menunggu pihak lain,” katanya menurut BH.

Sebelum ini, Parti Wawasan Negara dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan calonnya akan bertanding pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Ahmad Faizal berkata, Bersatu sudah mula berbincang dan menggerakkan jentera bersama parti seperti MUDA dan Pejuang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Pas perlu bertanding pada PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan kapasiti sendiri, bukan jenama PN.

Katanya, Pas tidak sepatutnya membawa jenama PN kerana keputusan dibuat parti itu sebelum ini dilihat tidak komited kepada identiti gabungan terbabit.

Malah, jelasnya, tindakan Pas mengumumkan akan menggunakan logo PN pada PRN menunjukkan parti itu seolah-olah mahu mensabotaj Bersatu, IPR dan jenama PN.

“Lebih elok jika selepas memutuskan hubungan dengan Bersatu, Pas dan Parti Wawasan Negara bertanding menggunakan logo sendiri daripada dilihat seolah-olah mahu mensabotaj parti komponen.

“Ia lebih jujur dan bertanggungjawab untuk bertanding menggunakan identiti sendiri daripada terus menggunakan jenama PN dan pada masa sama melemahkan asas yang membentuk gabungan itu,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Pas membuat keputusan bertentangan Perlembagaan dan keputusan Majlis Tertinggi PN mencemar dan merosakkan jenama gabungan itu.

“Kegagalan Pas menyelesaikan isu dalaman gabungan menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan anggota, penyokong dan jentera pilihan raya,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat