KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang Wong Chen mencabar partinya PKR supaya memecat beliau yang didakwa berada dalam dua perahu.
“Tak perlu tunggu saya letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, pecat saya sahaja.
“Orang Kelantan, kita tak takutlah. Orang Kelantan, kita berani semua, kita ni gedebe.
“Oleh itu, saya nak pesan kepada PKR, ambillah tindakan disiplin yang lebih.
“Kalau berani, tak payah suruh saya meletak jawatan. Dia nak suruh saya meletak jawatan, dia pun takut, nanti enam Ahli Parlimen keluar, dia hampus.
“Kalau berani, pecat saya, pecat saya, saya boleh terus (berkhidmat) sebagai Ahli Parlimen untuk rakyat Subang. Betul tak? Jangan main cah keting lah, orang Kelantan, oyak ni,” cabar Wong Chen dalam video yang dimuat naik di Facebooknya pada Isnin.
PKR sebelum itu dilapor berkata, tidak akan melayan sebarang tekanan atau cubaan memaksa parti itu bertindak mengikut rentak yang ditentukan oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Sebaliknya, parti ini akan terus membuat keputusan berdasarkan prinsip, perlembagaan parti dan kepentingan perjuangan yang lebih besar.
Timbalan Setiausaha Agung PKR Sivamalar Genapathy berkata, Wong Chen perlu menghentikan apa yang disifatkannya sebagai ‘sandiwara politik’ dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebenar sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, ketika pemimpin dan anggota parti sedang berusaha memperkukuh keyakinan rakyat, Ahli Parlimen Subang itu dilihat memilih untuk terus mencetuskan pelbagai kontroversi politik.
“Rakyat Subang tidak memilih seorang ‘content creator’ politik, sebaliknya memilih seorang wakil rakyat yang sepatutnya fokus menyelesaikan masalah rakyat.
“Tiada siapa dihukum kerana mempunyai kawan atau menghadiri acara awam.
“Persoalan sebenar ialah sama ada seseorang wakil rakyat masih komited kepada mandat, perjuangan dan platform politik yang diwakilinya ketika dipilih oleh rakyat,” katanya.
Sivamalar berkata, semua kontroversi yang timbul hari ini adalah hasil daripada pilihan politik yang dibuat oleh Wong Chen sendiri.
Beliau turut menggesa Ahli Parlimen Subang itu menyatakan pendirian secara terus terang sekiranya sudah tidak lagi yakin dengan perjuangan PKR.
“YB Wong Chen tidak boleh berada dalam dua perahu pada masa yang sama.
“Rakyat Subang adalah pengundi celik politik dan mampu menilai sendiri siapa yang benar-benar fokus berkhidmat kepada rakyat dan siapa yang lebih berminat mencipta polemik politik yang berterusan,” katanya.



