KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis mendapati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal membuktikan bahawa keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku dan penyitaan dua akaun bank parti tersebut tiga tahun lalu, sebagai berniat jahat.
Hakim, Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Bersatu bagi mencabar keputusan SPRM terbabit.
Pada 20 April 2023, SPRM dilaporkan merampas akaun Bersatu yang sebelum itu dibekukan.
Agensi itu berkata, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.
Pada 30 Oktober tahun sama, Bersatu memperoleh kebenaran untuk mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaun bank parti itu.
Permohonan itu difailkan Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing selaku pemohon pertama dan kedua, pada 29 Mei 2023.
Mereka menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki sebagai responden pertama sementara 19 individu lain sebagai responden kedua hingga ke-20.
Bersatu mendakwa pada 19 April tahun sama, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, lapor Sinar Harian.
Parti itu juga mendakwa bahawa SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April 2023 menyatakan kedua-dua akaun telah disita pada 11 April tahun sama, namun Bersatu tidak pernah dimaklumkan mengenai penyitaan pada tarikh berkenaan.



