Wanita Perlu Dihormati, Wajar Diberi Pengiktirafan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan kaum wanita yang telah banyak berjasa terhadap arus pembangunan negara, dan mereka bukan sahaja perlu dihormati tetapi wajar diberikan pengiktirafan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini dapat dilihat apabila kerajaan antara lain bersetuju menubuhkan Majlis Wanita Negara (MWN), Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara (JEWN) dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri (JKWNi) bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan dan negeri pada akhir tahun lepas.

“Baru-baru ini, Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 juga berjaya diluluskan di peringkat Dewan Negara untuk dikuatkuasakan secara berperingkat.

“Di bawah kerajaan ini, Rang Undang-undang ini telah diluluskan untuk melindungi bukan sahaja golongan wanita, tetapi juga golongan lelaki daripada gangguan seksual,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Wanita Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi, dan Presiden PERTAMA Sariha Mohd Ali.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga telah meminda senarai keperluan Bursa Malaysia bagi mewajibkan semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya seorang Ahli Lembaga Pengarah wanita.

Beliau berkata bermula 1 Sept ini semua syarikat besar dengan permodalan pasaran RM2 juta (pada 31 Dis 2021) akan melaksanakan keperluan itu, manakala bagi syarikat-syarikat lain akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2023.

“Sebelum ini, saya telah mengarahkan agar penyertaan golongan wanita dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023,” katanya.

Perdana Menteri berkata sehingga kini 210 buah syarikat sendirian berhad telah mempunyai lebih 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah syarikat daripada 900 syarikat sendirian berhad.

Sementara itu merujuk kepada peranan pengamal media wanita, Ismail Sabri berkata golongan itu memainkan peranan penting, dan kerajaan memerlukan sokongan mereka untuk menyebar luas maklumat tepat kepada rakyat.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut meluluskan dana RM300,000 untuk kegunaan aktiviti PERTAMA dan berharap persatuan itu dapat membantu kerajaan dalam menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan negara.

“Saya yakin, ramai lagi nama besar wanita dalam pelbagai bidang di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang pernah menjadi wartawan, dan kejayaan PERTAMA membantu melahirkan golongan berkaliber ini sangat mengagumkan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat