B40,M40 Boleh Miliki Rumah Melalui HOPE – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Program Pemilikan Kediaman atau lebih dikenali sebagai Home Ownership Program (HOPE) yang diusahakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri hari ini selaras dengan gagasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri HOPE bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.

Kata beliau, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kerajaan telah menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik, satu usaha yang boleh direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN)
Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi dan Kerajaan Negeri pula menyediakan tanah, manakala pihak bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual atau dibeli dengan harga yang berpatutan,” katanya pada Jumaat sempena majlis pelancaran Hope dan Karnival Jom Beli Rumah di Mid Valley.

Dalam hal ini kata Perdana Menteri, komitmen kerajaan untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki, haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta.

“Bahkan dalam soal pemilikan rumah ini juga, ia harus didokong oleh ekosistem institusi kewangan yang lebih menyokong dan memudahkan urusan pemilikan.

“Justeru itu, saya cukup gembira apabila Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-BIAYA telah dilancarkan oleh KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi memudahkan pemilikan kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda.

“Saya juga dimaklumkan bahawa satu pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik yang pertama seumpamanya sedang dibangunkan oleh KPKT sebagai panduan kepada Keluarga Malaysia tentang harga rumah mampu milik di seluruh negara,” ujarnya.

Oleh itu, Perdana Menteri berharap lebih banyak kediaman mampu milik dapat disediakan oleh pihak pemaju perumahan yang menepati had pendapatan Keluarga Malaysia berdasarkan lokaliti.

“Menjadi harapan saya agar lebih banyak program bersifat pendidikan diperhebatkan seperti Kempen Bijak Beli Rumah dan Pemilikan Kediaman pada usia muda.

“Ini pastinya dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya pembeli rumah pertama mendapat pengetahuan tentang pemilikan hartanah dan memudahkan mereka membeli kediaman idaman mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Kerajaan melakukan pelbagai cara untuk memudahkan pemilikan rumah kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti pemberian insentif pengecualian cukai duti setem bagi perjanjian pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman, kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri memberitahu, insentif berkenaan yang mula diperkenalkan sejak Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign atau HOC) yang dimulakan pada tahun 2019 hingga 2021, masih diteruskan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2025.

Jelas beliau, meskipun pengecualian duti setem ini akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara.

“Namun, saya ingin menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan komitmen kita kepada Keluarga Malaysia dan Kerajaan harus memperkukuhkannya.

“Untuk rekod, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa tuntutan pengecualian duti setem di bawah HOC adalah sebanyak RM957.8 juta. Malah, tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi harga rumah RM500,000 dan ke bawah.

“Bagi mendokong Program Pemilikan Kediaman atau HOPE ini, sukacita saya mengumumkan inisiatif pemilikan Keluarga Malaysia atau i-Miliki yang melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat atau tier harga rumah.

“Pertama: Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus; dan
Kedua: Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus.Pengecualian ini adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Disember 2023,” katanya.

Menurut beliau, usaha kerjasama strategik KPKT dengan REHDA dan Media Prima Berhad bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan sasaran B40 dan M40, iaitu Jelajah Karnival Jom Beli Rumah Tahun 2022.

“Saya bersetuju dengan pendekatan Karnival Jom Beli Rumah ini yang akan diadakan di seluruh negara dengan membawa mesej dan inisiatif-inisiatif Kerajaan termasuklah Kerajaan Negeri khususnya dalam soal perumahan.

“Saya juga sedar kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi namun kita perlu terus membantu rakyat dengan memperkasakan agenda pemilikan kediaman melalui lebih inisiatif tersusun yang dirangka oleh KPKT.

“Beberapa bulan lalu, saya pernah melancarkan skim memiliki kediaman Rent-to-Own (RTO) PR1MA bagi membantu Keluarga Malaysia. Saya harapkan kaedah RTO dapat diperluaskan khususnya dalam pasaran perumahan swasta,” kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu menurut beliau lagi, pembinaan rumah mampu milik untuk kumpulan B40 juga sedang giat dilaksanakan oleh agensi- agensi penyedia perumahan, baik di peringkat Pusat, mahupun di peringkat Negeri.

“Program Perumahan Rakyat atau PPR akan terus diperkukuh dengan hala tuju baharu serta komponen yang akan dapat meningkatkan daya huninya.

“Saya juga ingin menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya dapat hadir untuk melihat sendiri peluang pemilikan kediaman yang ditawarkan di dalam Karnival Jom Beli Rumah ini,” ucapnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat