KPPK teruskan libat urus dengan industri minyak sawit – Zuraida

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus mengadakan sesi libat urus bagi mencari penyelesaian menang-menang untuk semua pihak dalam sektor minyak sawit susulan persetujuan pihak industri menurunkan harga minyak masak secara berperingkat.

Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata ia bagi memastikan kebajikan pekebun kecil sawit terus terbela.

Beliau berkata, KPPK komited untuk memastikan industri sawit kekal sebagai sektor komoditi terbesar dan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“KPPK menyambut baik pengumuman Pasukan Jihad Tangani Inflasi mengenai harga minyak masak sawit akan diturunkan secara berperingkat.

“Sebelum ini, kementerian sudah mengadakan beberapa siri dialog bersama pemain-pemain industri minyak masak sawit untuk mencari penyelesaian menangani isu kenaikan harga barang keperluan ini, tanpa menjejaskan daya saing sektor.

“Pihak industri memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan dalam hal ini, berasaskan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, lapor BH.

Semalam, Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan pihak industri minyak masak sawit secara prinsip bersetuju membuat ‘adjustment’ bagi menurunkan harga minyak masak secara berperingkat berasaskan harga pasaran minyak sawit semasa.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihak industri berkenaan bersetuju dengan syor Pasukan Jihad Tangani Inflasi mengenai penurunan harga yang dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Selain itu Zuraida berkata, harga minyak sawit mula menunjukkan trend peningkatan yang ketara bermula pada pertengahan 2020 dan beberapa kali memecahkan rekod harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara pada Januari 2021 hingga Mei 2022.

Katanya, peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) telah menyebabkan harga produk minyak sawit termasuk minyak masak meningkat dengan ketara di pasaran tempatan.

“Empat faktor utama menyumbang kepada peningkatan harga MSM iaitu pengeluaran MSM yang rendah, peningkatan harga minyak kacang soya (SBO), peningkatan harga minyak mentah Brent (BCO) dan prestasi eksport minyak sawit yang kukuh di pasaran utama,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun peningkatan harga minyak masak masih diimbangi kerajaan menerusi subsidi kepada 60,000 tan atau 60,000,000 kilogram minyak masak peket (satu kilogram) sebulan bagi menampung keperluan pengguna tempatan, terutamanya golongan B40.

“Harga minyak masak peket bersubsidi untuk pengguna tempatan adalah RM2.50 sekilogram, berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM6 sekilogram.

“KPPK yakin dengan kerjasama jentera kerajaan di semua Kementerian yang berkaitan, harga minyak masak akan turun secara berperingkat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat