Anwar Dakwa Mahathir Benarkan Rundingan Terus Antara Telekom Dengan Syarikat Mukhriz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003, yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.

Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.

Menurut Anwar lagi, MKD pada masa itu berada di bawah kawalan dan arahan Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Katanya, Kementerian Kewangan pada 7 Oktober 2003 mengeluarkan surat untuk meluluskan permohonan Telekom untuk rundingan terus berkenaan.

“Selepas itu, rundingan terus yang berkaitan antara Telekom dan Opcom berlaku antara Oktober dan November 2003.

“Melalui satu surat award bertarikh 17 November 2003 kontrak fiber optik itu, Telekom melantik Opcom sebagai kontraktor bagi pembekalan kabel fiber optik dan perkhidmatan kejuruteraan dengan jumlah kontrak RM214.2 juta.

“Pada Jun 2004, Opcom menyerahkan hak milik, faedah dan kepentingannya dalam jumlah kontrak itu kepada Opcom Holdings Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai Opcom Holdings Berhad.

“Pengeluaran surat Telekom bertarikh 15 September 2003, surat Kementerian Kewangan bertarikh 7 Oktober 2003 dan rundingan bagi kontrak fiber optik itu berlaku di bawah kawalan, arahan dan bidang kuasa plaintif (Dr Mahathir) ketika menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya menerusi pembelaan itu yang difailkan firma guaman, Tetuan Thomas Philip, semalam.

Tuntutan saman difailkan Dr Mahathir di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Law Practice of Rafique pada 3 Mac lalu, dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Dr Mahathir mengemukakan saman fitnah itu dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.

Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Beliau turut mendakwa kenyataan Presiden PKR itu adalah tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu adalah seorang yang bersifat perkauman.

Selain itu, Anwar berkata, Opcom Cables Sdn Bhd (Opcom Cables) pada 14 Mei 2018 diberikan Kontrak Rakan Unifi bernilai RM11.157 juta oleh Telekom, yang mana ketika itu tiga pengarah syarikat berkenaan ialah anak sulung dan kedua Dr Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani serta isteri Mukhriz, Norzieta Zakaria.

“Kontrak Rakan Unifi adalah untuk pemasangan dan pemulihan perkhidmatan Unifi serta tempoh kontrak itu adalah 18 bulan bermula 2 Julai 2018 hingga 31 Disember 2019.

“Kontrak Rakan Unifi diberikan kepada Opcom Cables empat hari selepas plaintif mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 10 Mei 2018,” katanya lapor BH.

Anwar berkata, tindakan saman itu bertujuan melemahkan Kerajaan Persekutuan dan kredibilitinya sebagai Perdana Menteri, selain mewujudkan perpecahan kaum memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan diadakan dalam masa terdekat.

“Plaintif baru-baru ini membuat banyak serangan umum yang tidak berasas terhadap Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh defendan.

“Ia semata-mata untuk melemahkan dan menjejaskan kredibiliti mereka yang berkaitan memandangkan PRN di negeri terbabit yang akan datang.

“Ini terbukti dengan sijil perakuan segera bertarikh 3 Mei 2023 difailkan plaintif yang menyatakan bahawa tindakan ini (saman) mesti dilupuskan secepat mungkin memandangkan PRN akan datang,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat