Kertas Putih Kesihatan Lulus Di Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kertas Putih Kesihatan yang menggariskan strategi reformasi kesihatan negara untuk 15 tahun akan datang telah diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul Kertas Putih Kesihatan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas ia diluluskan selepas dibahaskan oleh 28 Ahli Parlimen selama hampir empat jam.

Kertas Putih Kesihatan yang dimulakan kerajaan terdahulu, menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Terdahulu ketika membentangkan Kertas Putih Kesihatan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, dokumen itu mengusulkan empat tonggak dan 15 strategi utama untuk mereformasi sistem kesihatan negara secara sistematik dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Dr Zaliha memaklumkan, tonggak dan strategi reformasi dalam kertas putih itu adalah berpandukan pada lima aspirasi kesihatan yang dimahukan rakyat, hasil libat urus kementerian bersama 847 agensi dan 7,729 wakil antara Mac tahun lalu hingga bulan ini.

Katanya, libat urus itu mendapati aspirasi rakyat menjurus pada mewujudkan sebuah negara yang sihat, memiliki sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat serta berdaya tahan, ekosistem kesihatan yang terbuka dan inovatif dan sistem kesihatan yang dihargai dan dibanggakan.

Daripada aspirasi itu, katanya, empat tonggak yang digariskan adalah mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan; mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit; memastikan pembiayaan yang mampan dan saksama; serta memperkukuhkan landasan dan asas sistem kesihatan serta tadbir urus.

“Antara impak yang akan diperoleh hasil reformasi sistem kesihatan ini adalah peningkatan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan saksama, memantapkan perlindungan sosial dan perlindungan risiko kewangan dan memastikan sistem kesihatan negara yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“Selain itu, ia menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta secara langsung memacu pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

“Jika kertas putih ini diterima pakai oleh ahli Dewan yang mulia ini, strategi dalam Kertas Putih Kesihatan akan segera diperincikan dan pelan implementasi akan dibangunkan supaya usaha yang penting dan kritikal ini tidak dilengahkan lagi demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat